Kejayaan tiga usahawan RISDA menyerlah di Groom Big Challenge 2025

Iklan
Tiga usahawan bimbingan RISDA dari Johor, Negeri Sembilan dan Pahang muncul pemenang utama, dari kiri, Ihsan, Abdul Razak dan Mohd Asyraf serta isterinya, Norsyafinaz.

BANDAR BARU BANGI - Tiga usahawan bimbingan RISDA dari Johor, Negeri Sembilan dan Pahang muncul pemenang utama Groom Big Challenge 2025 selepas mempamerkan inovasi produk, strategi pemerkasaan perniagaan serta ketahanan menghadapi cabaran.

Ketiga-tiga pemenang berterima kasih kepada RISDA dan mengakui kejayaan mereka bukan datang sekelip mata, sebaliknya hasil keberanian mengambil risiko, penambahbaikan berterusan serta sokongan agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

Pemenang pertama, Abdul Razak Rajab, 35, dari Tangkak, Johor, mengusahakan OZMY Sdn Bhd yang menghasilkan gewang tiruan jenis soft plastic untuk aktiviti memancing.

Menurutnya, kelebihan produknya, OZMI Silencer khusus untuk ikan toman terletak pada reka bentuk baharu yang dihasilkan 100 peratus mengikut tabiat ikan tempatan, sesuatu yang tidak ada pada kebanyakan gewang import.

Iklan

“Pembuat gewang luar negara tidak memahami selera ikan kita. Saya mencipta sendiri bentuk dan warna yang sesuai,” ujarnya.

Tahun pertama perniagaan, gewang OZMY berjaya memasuki pasaran Malaysia, Brunei dan Indonesia serta mencatatkan jualan berjumlah RM1.162 juta bermula Januari hingga November 2025.

Iklan

Namun, Abdul Razak pernah berdepan cabaran besar apabila reka bentuknya ditiru ketika proses pembuatan di China.

“Apabila permintaan tinggi, produk kita hilang dan ditiru. Saya membuat keputusan buka kilang sendiri supaya boleh kawal pengeluaran dan kos,” ujarnya.

Pada 2023, beliau memulakan pengeluaran sendiri sebelum membuka kilang khusus pada 2024.

Dengan lebih 200 unit simpanan stok (SKU), beliau kini dapat mengawal kuantiti berdasarkan permintaan tanpa perlu memenuhi pesanan minimum tinggi dari luar negara.

Beliau turut menerima permintaan pengeluar peralatan asal (OEM) dari Indonesia, namun buat masa ini memilih menumpukan kepada pengeluaran untuk jenama sendiri.

Pemenang kedua, Ihsan Suryani Datuk Mohamad, 51, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, mengusahakan produk berasaskan kelapa di bawah jenama Neo Tok Am dengan 12 SKU termasuk santan, kelapa pandan, air kelapa, koko fi ber dan koko chip.

Beliau memiliki 100 hektar ladang kelapa (70 hektar kelapa matag dan 30 hektar kelapa pandan) yang sebelum ini diuruskan ayahnya.

Selepas bersara awal pada usia 48 tahun daripada jawatan Penolong Pegawai Tadbir Kesihatan, Ihsan mengambil alih ladang keluarga apabila ayahnya yang kini berusia 81 tahun tidak lagi mampu menguruskan sepenuhnya selepas diserang strok.

“RISDA adalah pihak pertama membantu saya dengan geran RM20,000 untuk membeli mesin santan. Dari situ saya mula menaik taraf mesin supaya lebih automatik kerana sukar mencari pekerja tetap,” ujarnya.

Ihsan turut memperkenalkan pelbagai inovasi termasuk kelapa diamond yang diproses menggunakan mesin baharu. Selain itu, beliau merancang membuka pembuatan OEM dan menyediakan kelapa bertemakan ucapan khas untuk hotel serta pelanggan individu.

Pendapatan tahunannya kini mencecah RM300,000 hingga RM350,000 dengan ladang diusahakan oleh ahli keluarga termasuk seorang anak yang mengurus bahagian ladang.

Cabaran terbesar baginya adalah menghasilkan produk premium pada harga kompetitif serta proses menanam semula kelapa selepas 25 tahun.

Kos anak benih kini meningkat daripada RM2.50 kepada RM90 sepokok.

Dalam tempoh lima tahun, Ihsan merancang membangunkan pusat agro industry dan agro tourism di ladangnya.

Sementara itu, pemenang ketiga, Mohd Asyraf Mashasan, 36, dari Pahang, mengusahakan Kekkoy HQ Resources (M) Sdn Bhd, bermula dari dapur rumah berbekalkan minat mendalam terhadap pembuatan kek.

Produk paling laris ialah kek buttercream yang dirumus khas supaya tidak berminyak dan tidak terlalu manis, menjadikannya pilihan pelanggan termasuk masyarakat Cina.

“Kek icing selalunya berminyak dan cepat muak, tapi produk kami tidak. Itu kekuatan utama sehingga dapat permintaan berterusan,” kata Mohd Asyraf yang dibantu isterinya, Norsyafi naz Zaminudin, 34.

Kini, perniagaannya berjaya menjana pendapatan RM100,000 sebulan hanya dengan satu premis.

Beliau mengakui cabaran utama ialah memenuhi tempahan dalam kuantiti besar, selain faktor kek yang tidak tahan lama dan sukar dibawa jauh.

Namun, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan membantu Kekkoy mengatasinya dan terus berkembang.

Kejayaan ketiga-tiga usahawan ini membuktikan program bimbingan dan sokongan RISDA mampu mencetuskan perubahan ketara dalam ekonomi keluarga peneroka dan pekebun kecil.

Mereka bukan sahaja melakar kejayaan masing-masing, malah menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan baharu untuk bangkit, berinovasi dan memajukan produk tempatan ke tahap lebih tinggi.