SHAH ALAM - Satu kajian terbaharu oleh TRAFFIC Southeast Asia dan WWF-Malaysia mendedahkan kewujudan pasaran dalam talian yang amat menguntungkan bagi produk yu dan pari di negara ini, jauh melangkaui tumpuan umum terhadap sirip yu semata-mata.
Kajian bertajuk “From Sea to Screen: Malaysia’s Online Shark and Ray Trade” yang dijalankan antara Oktober hingga Disember 2022 itu merekodkan jualan merentasi platform e-dagang utama seperti Facebook, Shopee dan Lazada, melibatkan sekurang-kurangnya 5.25 juta kilogram produk.
Menurut laporan berkenaan, pasaran dalam talian menunjukkan gambaran berbeza berbanding persepsi umum dengan produk daging segar dan diproses mencatatkan jumlah terbesar, manakala badan yu dan pari keseluruhan paling kerap dipasarkan dalam hantaran jualan.
Yu dan pari merupakan spesies marin ‘keystone’ yang penting dalam mengekalkan ekosistem laut sihat, namun amat terdedah kepada tekanan penangkapan kerana tumbesaran perlahan dan bilangan anak yang sedikit.
Secara global, menurut Senarai Merah IUCN, lebih satu pertiga spesies yang dinilai kini diancam kepupusan akibat penangkapan berlebihan dan perdagangan haram.
Walaupun hanya sebahagian kecil spesies dapat dikenal pasti melalui jualan dalam talian, kajian itu mengesahkan kehadiran spesies sangat terancam seperti wedgefish (Kritis Terancam) dan whiprays (Terancam) dalam rantaian pasaran yang mencecah nilai lebih RM326 juta ($AS70 juta).
Semua spesies yu yang dikenal pasti, serta hampir semua spesies pari dalam senarai tersebut merupakan spesies natif perairan Malaysia, namun tiada satupun dilindungi secara khusus di bawah Akta Perikanan 1985.
Sehubungan itu, ketika negara sedang meminda akta berkenaan, perluasan perlindungan terhadap spesies terancam tersebut disifatkan kritikal bagi memastikan kelangsungan populasi.
Kajian itu turut menemui jurang besar dalam aspek keterjejakan (traceability) dan akauntabiliti penjual, apabila kebanyakan hantaran tidak menyatakan asal produk. Keterjejakan penting untuk mengesahkan lokasi, kaedah dan spesies ditangkap, sekali gus menghalang perdagangan haram serta mengukuhkan usaha kelestarian.
TRAFFIC dan WWF mencadangkan pemerkasaan sistem penjejakan seperti SharkTrace, yang menggunakan kod QR untuk menjejak produk dari sumber tangkapan hingga ke pengguna, bagi mewujudkan rantaian perdagangan lebih telus dan bertanggungjawab.
Kajian itu menyeru tindakan menyeluruh merentasi semua sektor, kerajaan digesa memperluas perlindungan spesies marin terancam, termasuk yu dan pari di bawah Akta Perikanan 1985 selain memperkukuh piawaian pelabelan serta pemantauan perdagangan.
Platform e-dagang dan peniaga pula disaran mendedahkan asal-usul produk serta bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil bagi mempromosi perdagangan bertanggungjawab.
Bagi rakyat Malaysia, seruan paling tegas adalah mudah tetapi signifikan iaitu dengan menghentikan tabiat memakan yu dan pari, demi masa depan lautan negara.