KOTA BHARU – Pengumuman Kerajaan Kelantan membenarkan rakyat negeri itu mendulang emas secara sah bukan sahaja mencetuskan keterujaan dalam kalangan penduduk tempatan, malah menarik perhatian seluruh negara apabila ramai tampil mengaku mempunyai hubungan kekeluargaan dengan rakyat negeri itu.
Di media sosial, ruang komen dipenuhi pelbagai reaksi mencuit hati termasuk dakwaan bahawa datuk mereka berasal dari Kelantan meskipun kini menetap di luar negara, termasuk Finland.
Ayah saya pengembara, pindah ke Finland dan saya lahir di sini. Boleh tak saya ‘claim' ore Kelate jugok?” tulis pengguna Facebook, Dhul Fiqar, yang disambut balas netizen lain secara berseloroh bahawa itu sudah cukup melayakkan dia digelar anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang.
Turut mencuit perhatian ialah komen daripada individu luar Kelantan yang mahu menyertai 'pasukan mendulang' atas alasan mereka gemar makan budu atau mempunyai rakan dari negeri itu.
“Saya suka makan budu, nak 'join',” tulis Ihtisyamuddin Kamal yang disambut dengan gurauan pengguna lain kononnya syarat tambahan ialah perlu mengahwini orang Kelantan.
Ada juga yang berseloroh mahu berpindah semula ke kampung halaman selepas menyedari nombor kad pengenalannya masih bermula dengan kod negeri Kelantan.
“Dengan gaya sekarang, nampaknya kena balik kampung. No IC saya masih Kelate boh,” tulis perantau, Amin Ibrahim.
Tidak kurang juga yang berjenaka agar tiada ‘tikus luar’ datang menyelongkar kawasan mendulang selepas aktiviti tersebut dibuka secara sah kepada rakyat negeri ini.
Gelombang itu tercetus selepas kerajaan negeri mengumumkan pemberian lesen khas kepada rakyat Kelantan untuk mendulang emas di atas tanah kerajaan, tertakluk kepada syarat keselamatan, kawalan alam sekitar dan rekod perlombongan rasmi.
Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mengumumkan perkara itu semasa penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Langkah itu bertujuan memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat langsung daripada khazanah semula jadi negeri sendiri, dan bukan hanya dinikmati syarikat-syarikat besar.