BEIJING – Seorang bapa di China sanggup berhenti kerja dan berpindah sejauh 900 kilometer semata-mata untuk memastikan anak perempuannya dapat menikmati makanan yang bersih dan sedap seperti masakan di rumah.
Memetik laporan South China Morning Post, anak perempuannya, Li Bingdi, sering mengadu kurang selera makan di kantin universiti kerana makanan disediakan tidak bersih dan tidak sesedap masakan rumah.
Prihatin dengan keluhan pelajar tahun kedua di Universiti Normal Jilin di Siping itu, bapanya yang bekerja di sebuah restoran barbeku di Tianjin membuat keputusan berhenti kerja.
Beliau kemudian ke selatan China untuk belajar memasak nasi goreng dan mi sebelum menyewa gerai berhampiran pintu masuk universiti anaknya.
Gerai tersebut mula beroperasi pada pertengahan Oktober lalu, namun hanya tujuh set nasi goreng terjual pada hari pertama dengan keuntungan jauh lebih rendah daripada 70 yuan (kira-kira RM40) diperoleh anaknya hasil kerja sambilan sebagai tutor.
Kisah itu mula tular selepas Li berkongsi pengalaman bapanya di media sosial universiti dengan menyifatkan bapanya sebagai seorang yang sangat menjaga kebersihan makanan dan berusaha keras memperbaiki resipi bagi memuaskan hati pelanggan.
Keesokan harinya, suasana di gerai berubah apabila ramai pelajar, pensyarah dan penduduk sekitar mula beratur panjang untuk membeli makanan di situ.
Ada yang membeli lebih daripada keperluan sekadar untuk memberi sokongan moral kepada bapanya.
Sejak itu, Li turut membantu bapanya berniaga selepas waktu kuliah.
"Pada bulan lepas, bapa kata dia kesejukan semasa berniaga tetapi sekarang, walaupun sibuk, hatinya terasa hangat," katanya.
Menurut Li, bapanya tidak mengejar keuntungan besar, sebaliknya hanya mahu mencari rezeki halal sambil menjaga dirinya dan anak tunggalnya itu.
Sejak kehilangan ibu akibat leukemia beberapa tahun lalu, mereka berdua saling bergantung antara satu sama lain.
Kini, perniagaan kecil itu semakin mendapat sambutan dan mula stabil dengan bantuan anaknya.
"Semasa saya pilih universiti, bapa kata ke mana pun saya pergi, dia akan ikut. Kini beliau menepati janjinya.
"Ramai kata kasih seorang bapa seteguh gunung, tapi bagi saya kasih sayangnya hangat seperti matahari," tambahnya.