Israel amalkan dasar apartheid di Tebing Barat

Iklan
Komuniti Badwi mengadakan protes di persimpangan jalan berhampiran kampung Bir Hadaj di Gurun Negev.

GENEVA – Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu mendedahkan Israel melaksanakan diskriminasi dan pengasingan berterusan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, menyeru negara itu menamatkan sistem yang digambarkan sebagai apartheid.

Dalam laporan terbaharu, PBB menyatakan bahawa diskriminasi sistematik terhadap Palestin di wilayah yang diduduki Israel telah merosot dengan teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

“Hak rakyat Palestin di Tebing Barat telah dihancurkan secara sistematik. Setiap aspek kehidupan mereka, daripada akses air, pendidikan, rawatan hospital, lawatan keluarga, hingga menuai zaitun dikawal dan dibatasi oleh undang-undang, dasar, dan amalan diskriminasi Israel,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Kren pembinaan menjulang di tapak pembinaan di Givat HaMatos, sebuah pinggir bandar penempatan Israel di timur Baitulmaqdis.

Iklan

Laporan itu menyifatkan diskriminasi berasaskan kaum, agama, dan etnik ini sebagai satu bentuk apartheid yang serius, mirip dengan sistem yang pernah berlaku sebelum ini.

Ia juga menekankan bahawa tindakan ini melibatkan pengambilalihan tanah besar-besaran, sekatan akses sumber, dan pendakwaan di mahkamah tentera di mana hak proses undang-undang Palestin sering diabaikan.

Iklan

Israel menolak laporan itu, mendakwa ia mengandungi 'tuduhan tidak berasas dan dipolitikkan', serta bertujuan memfitnah negara itu.

Gambar diambil dari kawasan Jabal Mukaber di timur Baitulmaqdis yang dirampas Israel.

Laporan PBB turut menyatakan bahawa penguasaan tanah oleh penjarah Israel di Tebing Barat dan tindakan pihak berkuasa Israel menyebabkan perbezaan undang-undang yang ketara antara rakyat Palestin dan penduduk Israel.

Sejak perang Gaza bermula, tentera Israel dan penjarah telah membunuh lebih 1,000 rakyat Palestin, termasuk pejuang bersenjata dan orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan Palestin.

Sebaliknya, sekurang-kurangnya 44 rakyat Israel, termasuk tentera dan orang awam, terbunuh akibat serangan Palestin atau operasi tentera Israel dalam tempoh sama. - AFP