JAKARTA - Status darurat di Aceh susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu pada akhir November tahun lalu akan dilanjutkan selama 14 hari lagi, bermula Jumaat hingga 22 Januari depan, lapor Agensi Berita ANTARA.
Keputusan itu diumumkan oleh Gabenor Aceh Muzakir Manaf dalam mesyuarat maya yang dipengerusikannya dari Pos Komando Darurat Bencana Aceh di Pejabat Gabenor Aceh pada Khamis.
Iklan
Iklan
Muzakir, yang lebih dikenali sebagai Mualem, berkata, lanjutan itu dibuat berdasarkan koordinasi dengan kerajaan pusat serta surat daripada Menteri Dalam Negeri bertarikh 7 Januari 2026 berhubung lanjutan status berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira usaha tindak balas bencana yang masih berjalan dan keadaan di lapangan, termasuk hakikat bahawa beberapa kawasan masih terpinggir serta pergerakan logistik masih terhad.
Gabenor itu menjelaskan bahawa lanjutan tersebut bertujuan memastikan kerja-kerja pembersihan persekitaran, pengagihan bantuan logistik, perkhidmatan kesihatan serta pemulihan akses masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan tersusun.
Status darurat itu pertama kali diisytiharkan di Aceh pada 27 November 2025, dan kini telah dilanjutkan sebanyak tiga kali.
Menurut data BNPB, banjir dan tanah runtuh yang melanda Aceh serta dua lagi wilayah di Sumatera, iaitu Sumatera Utara dan Sumatera Barat, pada akhir November tahun lalu menyebabkan 1,178 mangsa terkorban dan lebih 238,500 orang dipindahkan. - Bernama