Muhammadiyah Indonesia tetapkan 1 Ramadan bermula 18 Februari 2026

Iklan
Pimpinan Pusat (PP) Muhammadiyah secara rasmi menetapkan awal Ramadan 1447 Hijrah jatuh pada Rabu, 18 Februari 2026.

JAKARTA – Pimpinan Pusat (PP) Muhammadiyah secara rasmi menetapkan awal Ramadan 1447 Hijrah jatuh pada Rabu, 18 Februari 2026, berdasarkan kaedah hisab hakiki wujudul hilal yang menjadi pegangan Majlis Tarjih dan Tajdid pertubuhan itu, lapor KompasTV pada Isnin.

Penetapan tersebut dimaktubkan menerusi Maklumat Pimpinan Pusat Muhammadiyah Bilangan 2/MLM/1.0/E/2025 yang dikeluarkan di Yogyakarta pada 22 September 2025.

Iklan
Iklan

Menurut maklumat berkenaan, hasil pengiraan astronomi menunjukkan kedudukan bulan telah memenuhi syarat kewujudan hilal, sekali gus membolehkan permulaan puasa Ramadan ditetapkan pada tarikh berkenaan.

“Berdasarkan hisab hakiki wujudul hilal, kedudukan bulan telah memenuhi syarat, maka 1 Ramadan 1447 Hijrah ditetapkan pada Rabu, 18 Februari 2026,” menurut kenyataan PP Muhammadiyah.

Iklan

Dalam pada itu, Hari Raya Aidilfitri atau 1 Syawal 1447 Hijrah pula ditetapkan jatuh pada Jumaat, 20 Mac 2026.

Penetapan tarikh tersebut adalah selaras dengan prinsip, syarat dan parameter Kalender Hijriah Global Tunggal, yang telah dipersetujui dalam Musyawarah Nasional Tarjih Muhammadiyah ke-32 di Pekalongan pada tahun 2024.

Iklan

Maklumat itu turut menjelaskan bahawa ijtima’ menjelang Ramadan 1447 Hijrah berlaku pada Selasa, 17 Februari 2026.

Namun, berdasarkan kriteria Kalender Hijriah Global, permulaan bulan baharu hanya dikira selepas terbenam matahari pada hari berikutnya, sekali gus menetapkan 18 Februari sebagai hari pertama Ramadan.

Maklumat tersebut dikeluarkan sebagai panduan rasmi kepada warga Muhammadiyah dan ditandatangani oleh Pengerusi Umum serta Setiausaha PP Muhammadiyah.

Sementara itu, Kementerian Agama Indonesia (Kemenag) melalui Pejabat Wilayah Provinsi Aceh telah mengeluarkan Kalendar Hijriah 1447 Hijrah, yang menganggarkan 1 Ramadan jatuh pada Khamis 19 Februari 2026.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan masih bersifat anggaran awal, memandangkan kerajaan Indonesia akan menjalankan cerapan anak bulan (rukyah) dan sidang isbat pada penghujung bulan Syaaban bagi menetapkan tarikh rasmi permulaan Ramadan.-Agensi