Mendulang emas berlebihan boleh undang bahaya

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. - Gambar kecil: Mohd Syakir

SHAH ALAM - Aktiviti mendulang emas secara berlebihan tanpa kawalan termasuk penggalian tanah di tebing sungai, boleh menyebabkan hakisan dan kejadian tanah runtuh terutama ketika musim hujan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Syakir Sulaiman berkata, lumpur dan sisa mendulang berlebihan turut berpotensi mencemarkan sungai apabila menyebabkan air menjadi keruh serta menjejaskan hidupan akuatik di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

“Selain itu, jika kawasan yang digali mempunyai struktur batuan tidak stabil, ia boleh menjejaskan kestabilan tanah dan geologi setempat.

“Aktiviti mendulang perlu dijalankan secara terkawal bagi memastikan keseimbangan alam sekitar terpelihara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Kerajaan Kelantan sedang merangka draf syarat untuk membolehkan rakyat negeri itu mendulang emas secara sah sebagaimana diumumkan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Isnin.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, syarat tersebut bukan bertujuan menyusahkan rakyat sebaliknya bagi menastikan keselamatan serta memelihara alam sekitar.

Iklan

Ujar Mohd Syakir, Pahang dari segi sejarah kawasan paling kaya sumber emas di negara ini.

Menurutnya, beberapa kawasan seperti Raub, Penjom dan Kuala Lipis telah lama menjadi pusat perlombongan emas sejak zaman pemerintahan British.

“Ini kerana formasi batuan di kawasan tersebut mengandungi banyak urat kuarza (telerang kuarza) dan struktur geologinya sesuai untuk pembentukan emas.

“Kelantan pula negeri kedua terbesar berpotensi emas terutama di kawasan hulu sungai dan tanah tinggi, namun belum diterokai sepenuhnya.

“Pada masa ini, Kelantan semakin mengorak langkah untuk menjadi negeri yang strategik dalam industri emas di Malaysia,” ujarnya.

Kata Mohd Syakir, terdapat beberapa ciri geologi yang menunjukkan kehadiran emas di sesuatu kawasan antaranya dikaitkan dengan batuan berurat kuarza putih yang terbentuk melalui proses hidrotermal di bawah tanah.

“Emas sering wujud bersama mineral seperti pirit berwarna keemasan dan arsenopirit. Selain itu, kawasan yang mempunyai rekahan atau sesar juga penting kerana rekahan itu menjadi laluan cecair panas yang mengumpul serta membawa emas naik ke permukaan bumi,” katanya.