KUALA SELANGOR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengenal pasti enam jenis tanaman utama yang akan diberi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membantu kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, enam tanaman itu ialah jagung bijirin, kelapa, cili, kobis, bawang dan halia yang dikenal pasti sebagai antara komoditi penting dalam usaha gantian import.
Menurutnya, Angkasa akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan bagi memastikan pengeluaran tanaman berkenaan dapat dipertingkatkan melalui penglibatan koperasi di seluruh negara.
"Dalam RMK13, kita memberi fokus kepada enam jenis tanaman ini sebagai langkah memperkukuh sekuriti makanan negara.
"Usaha ini juga sebahagian daripada gantian import bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Sumbangan Ibu Tunggal dan Asnaf Program Sentuhan Kasih Di Ambang Ramadan di Galeri Tanjong Karang Utara, Jalan Sungai Kajang Tanjong Karang, di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, peranan Angkasa adalah mengenal pasti koperasi yang berpotensi untuk terlibat secara aktif dalam pengeluaran tanaman terbabit.
Abdul Fattah menjelaskan, pendekatan itu memberi peluang kepada koperasi menjadi ‘player’ utama dalam rantaian pengeluaran makanan negara sekali gus meningkatkan nilai pengeluaran sektor pertanian tempatan.
Katanya, bagi komoditi kelapa, beberapa projek sudah pun dilaksanakan manakala tanaman lain seperti kopi masih di peringkat cadangan dan penelitian lanjut kerana memerlukan tempoh matang lebih panjang.
"Jabatan Pertanian akan mengenal pasti kawasan dan pemain industri yang sesuai, manakala Angkasa bersama koperasi akan membantu dari segi penyelarasan, pengeluaran dan pemasaran.
Beliau berharap langkah berkenaan mampu memperkukuh peranan koperasi dalam sektor agro makanan selain menyokong agenda kerajaan meningkatkan tahap sara diri dan kestabilan bekalan makanan negara.
"Kita kini di peringkat mengenal pasti koperasi yang benar-benar bersedia serta mempunyai kapasiti untuk meningkatkan nilai pengeluaran bagi enam tanaman berkenaan,” katanya.