Kebun anggur Kelantan bakal jadi tarikan agropelancongan ala strawberi Cameron Highlands

Iklan
Wan Yusoff menunjukkan anggur yang ditanam di kebunnya di Wakaf Bharu, Tumpat.

TUMPAT – Kebun anggur yang diusahakan oleh anak tempatan di Wakaf Bharu di sini bakal menjadi destinasi agropelancongan baharu berkonsepkan ‘petik dan nikmati’, menyerupai pengalaman di kebun strawberi Cameron Highlands.

Pemiliknya, Wan Yusoff Abdul Rahman, 41, berkata, projek tersebut sedang dibangunkan selepas menerima Geran Usahawan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berjumlah RM169,075 pada Julai lalu.

Iklan
Iklan

“Projek ini kini berada pada fasa akhir kelulusan pihak berkuasa sebelum kerja pembinaan dimulakan.

"Ia membabitkan pembinaan beberapa fasiliti dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan,” katanya pada Rabu.

Iklan

Kebun anggur Wan Yusoff menggamit kehadiran ramai pengunjung. 

Menurutnya, projek tersebut akan menampilkan gabungan elemen pertanian dan pelancongan menerusi pembinaan dua unit penginapan, sebuah dewan seminar dan sebuah kafe bertemakan produk anggur bagi kemudahan pelawat serta peserta kursus.

Iklan

“Pengunjung boleh memasuki kawasan kebun anggur untuk menikmati suasana dan bergambar. Jika mahu memetik buah pun boleh, sama seperti aktiviti memetik strawberi di Cameron Highlands,” ujarnya.

Kafe yang akan dibuka dalam kawasan kebun itu turut mengetengahkan pelbagai produk berasaskan anggur termasuk jus, kek dan biskut sebagai usaha memperkenalkan hasil tempatan kepada pengunjung.

Selain itu, kata Wan Yusoff, kawasan sekitar akan dihias dengan landskap dan ruang foto bagi menambah nilai tarikan visual kepada pelancong dari dalam dan luar negeri ini.

Menariknya, kebun terbabit menempatkan lebih 40 varieti anggur dari Jepun, Ukraine dan Amerika Syarikat termasuk jenis Cras Sava dan Mustard yang menghasilkan buah berwarna ungu kemerahan, hijau serta merah.

Lebih 40 varieti anggur termasuk dari Jepun, Ukraine dan Amerika Syarikat berhasil ditanam di kebun Wan Yusoff.

Wan Yusoff berkata, projek yang bermula sebagai hobi dengan modal tidak sampai RM2,000 berkenaan sekarang berkembang menjadi usaha komersial di atas tanah terbiar yang disewa selama 15 tahun.

“Matlamat saya bukan sekadar menghasilkan buah, tetapi menjadikan kebun ini sebagai lokasi pembelajaran dan tarikan agropelancongan baharu di Kelantan.

“Projek ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat seiring usaha kerajaan memperkukuh pelancongan berasaskan pertanian dan komuniti,” katanya.