Nottingham Forest hidup semula

Iklan
Morgan Gibbs-White selepas meledak gol buat Forest dalam aksi Liga Europa di City Ground. Foto Agensi

SEAN Dyche membuka tirai tugasnya sebagai pengendali Nottingham Forest dengan penuh bergaya apabila dua sepakan penalti Morgan Gibbs-White dan Igor Jesus memastikan kemenangan 2-0 ke atas Porto dalam aksi Liga Europa di City Ground, awal pagi Jumaat.

Kemenangan itu bukan sekadar tiga mata berharga tetapi simbol kebangkitan menamatkan kemarau kemenangan sejak aksi pembukaan Liga Perdana pada Ogos lalu, mengembalikan rekod tanpa bolos sejak April dan menjadi hadiah manis buat Dyche yang baru empat hari dilantik menggantikan Ange Postecoglou.

Iklan
Iklan

Selepas beberapa bulan bergelora, termasuk pemecatan Postecoglou hanya 39 hari selepas menggantikan Nuno Espirito Santo, Forest tampil jauh lebih tersusun dan berdisiplin di bawah sentuhan pertama Dyche.

Walaupun atmosfera City Ground masih sarat dengan tekanan, skuad The Reds kali ini tampil dengan keyakinan baharu yang lama hilang.

Iklan

Gibbs-White membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas bola terkena tangan Jan Bednarek dalam kotak penalti.

Porto cuba bangkit tetapi Igor Jesus menggandakan kelebihan Forest menerusi satu lagi sepakan penalti pada minit ke-77 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran terhadap Nicolo Savona.

Iklan

Porto, yang sebelum ini menang 10 daripada 11 perlawanan awal musim, akhirnya akur dengan kekalahan pertama mereka musim ini sebaik sentuhan Bednarek pada babak kedua turut dibatalkan kerana ofsaid.

Bagi Forest, kemenangan ini mengakhiri penantian hampir tiga dekad untuk meraih semula kemenangan di pentas Eropah kali terakhir dicatat pada November 1995 ketika menundukkan Lyon 1-0 dalam Piala UEFA.

Ironinya, pada minggu kemenangan bersejarah itu, Dyche masih pemain Chesterfield di seberang Sungai Trent.

Kini, 35 tahun kemudian, beliau kembali ke City Ground bukan sebagai pemain muda yang mencari peluang, tetapi sebagai pengendali yang mengembalikan semula maruah dan semangat kelab.

“Saya tunggu lama untuk saat ini. Ketika remaja di sini pada 1987, impian saya cuma mahu memakai jersi Forest. Kini berdiri di tepi padang sebagai pengurus, ia sungguh menyentuh hati.

“Saya belajar untuk perlahan dan hayati momen seperti ini. Kadang-kadang detik besar berlalu begitu cepat, malam ini saya mahu simpan semuanya dalam memori,” kata Dyche.

Forest mungkin belum menampilkan bola sepak indah, namun disiplin, semangat dan keazaman mereka cukup untuk menghidupkan kembali denyut semangat di City Ground.

Stadium yang dulu suram kini kembali bergema bukan dengan keluhan kecewa, tetapi dengan keyakinan bahawa era baharu di bawah Dyche baru sahaja bermula.