JAGUH berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sah tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Filipina, Mac depan.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pelumba berusia 30 tahun itu benar-benar cergas sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Trek Piala Dunia 2026 di Nilai, April ini.
“Shah tidak masuk ACC bukan sebab kecederaan. Buat masa ini dia memang sudah cergas, cuma dia perlu mencari semula kekuatan untuk kembali berlumba,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Shah Firdaus terpaksa berehat panjang hingga Mac depan selepas menjalani pembedahan lutut tahun lalu.
Bagaimanapun, pelumba yang mendapat julukan ‘The Terminator’ itu membuat penampilan mengejut dalam acara keirin elit lelaki pada pusingan kedua Kejohanan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden).
Dalam pada itu, Harnizam memaklumkan pelumba berbasikal trek negara akan berkampung di Melbourne, Australia, bagi menjalani latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kejohanan ACC 2026.
Beliau berkata Muhammad Shah Firdaus turut akan menyertai kem latihan itu meskipun tidak mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.
Untuk rekod, pada ACC tahun lalu yang berlangsung di Nilai, pasukan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan selepas mengumpul dua pingat emas serta masing-masing empat perak dan gangsa.
Dua pingat emas negara disumbangkan menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara keirin dan ujian masa satu kilometer wanita. – Bernama