Insiden bakar suar: Sultan Selangor mahu hukuman maksimum

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah

DALANG di sebalik insiden membakar suar dan berarak di Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan tuan rumah Terengganu FC pada Ahad lalu perlu dikenakan tindakan tegas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihak polis mencari pelaku utama dan sekiranya terbukti bersalah, mereka yang terlibat harus dikenakan hukuman.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada Selasa, Sultan Sharafuddin kecewa dan tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng serta gangsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.

"Baginda mahu mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.

Iklan

"la sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang," menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.

Iklan

"Baginda turut mencadangkan penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu," jelas kenyataan itu lagi.

Media sebelum ini melaporkan, kesemua penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tindakan diambil selepas mereka mengeluarkan kata-kata"tak kan nak bakar suar dalam hutan, nak bagi beruk tengok ke" selepas ditanya polis kenapa melakukan tindakan itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan memiliki dadah.

Seramai 24 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu petang semalam itu turut didapati positif dadah, termasuk tiga individu memiliki ganja dan erimin 5.

Terdahulu tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di berada di jambatan itu.

Tindakan tidak beradab dan keterlaluan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk serta mengganggu ketenteraman awam ketika warga Terengganu pulang daripada bekerja sekali gus menyaksikan situasi itu sama sekali tidak dapat diterima masyarakat di negeri berkenaan.