Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand letak jawatan

Iklan
Thana Chaiprasit (dalam bulatan) meletak jawatan selaku Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand susulan kegagalan skuad lelaki mencapai sasaran di Sukan SEA 2025 yang berlangsung di bumi sendiri. Foto: Agensi

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit mengemukakan peletakan jawatan pada Selasa susulan kegagalan pasukan lelaki negara itu mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA 2025 yang berlangsung di bumi sendiri.

Lapor Thairat Online, dalam surat peletakan jawatan tersebut, Thana mengambil tanggungjawab penuh terhadap prestasi hambar pasukan, khususnya dalam acara lelaki.

Iklan
Iklan

Skuad lelaki Thailand gagal memenangi semua pingat emas buat kali pertama dalam tempoh 34 tahun, satu keputusan yang mencetuskan kekecewaan dalam kalangan peminat dan komuniti sepak takraw negara itu.

“Kegagalan pasukan lelaki mempertahankan keunggulan tradisi di Sukan SEA kali ini adalah sesuatu yang sukar diterima.

Iklan

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya dan memilih untuk berundur bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu menerajui persatuan,” menurut kandungan surat berkenaan.

Pada Sukan SEA 2025, tuan rumah terlepas tiga pingat emas utama yang menyaksikan Thailand tewas 1-2 kepada Malaysia dalam acara regu berpasukan di perlawanan akhir.

Iklan

Sementara itu, acara regu lelaki menyaksikan Thailand tersingkir di separuh akhir selepas kalah kepada Vietnam.

Nasib sama menimpa pasukan kuadran yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, selepas tewas 1-2 kepada Vietnam di peringkat separuh akhir.

Prestasi kurang memberangsangkan itu turut berlanjutan dalam kejohanan Pra-Sukan Asia, apabila Thailand gagal mara ke final selepas kalah 0-2 kepada India di separuh akhir.

Susulan peletakan jawatan Thana, TAT dijangka mengadakan pemilihan jawatankuasa eksekutif baharu dalam tempoh 30 hari, selaras dengan peruntukan perlembagaan persatuan.