Komitmen, kesungguhan kelab India tarik minat Misbun

Iklan
Misbun

KESUNGGUHAN dan komitmen sebuah kelab badminton ternama di India menjadi faktor utama legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek menerima tawaran untuk mencurahkan ilmunya di negara tersebut.

Misbun mendedahkan bahawa keputusan itu diambil selepas beliau berulang kali dilamar oleh pihak pengurusan kelab berkenaan, selain tertarik dengan kumpulan pemain muda yang dimiliki kelab itu.

Iklan
Iklan

Menurut Misbun, beliau melihat India kini mempunyai ramai pemain pelapis yang aktif menyertai kejohanan antarabangsa serta memiliki keazaman tinggi untuk berjaya.

“Mereka (pihak pengurusan kelab) sudah bertanya banyak kali, jadi saya membuat keputusan untuk pergi dan berkongsi ilmu badminton yang saya ada bersama mereka.

Iklan

“Saya melihat India mempunyai ramai pemain muda yang baharu. Saya lebih tertarik melihat komitmen mereka, kebanyakannya daripada kelab yang mula meneroka kejohanan antarabangsa.

“Walaupun pemain daripada pasukan kebangsaan tidak ramai, namun pemain kelab ini merupakan kumpulan bakat muda yang besar. Malah, ramai jurulatih di sana juga terdiri daripada bekas pemain,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook Nusa Mahsuri.

Iklan

Difahamkan, Misbun kini sudah berada di India bagi memulakan tugasnya di Hatsun Badminton Centre yang terletak di Thiruthangal, Tamil Nadu.

Menurut Misbun, beliau bukan sahaja mahu mengajar, sebaliknya turut ingin menimba pengalaman baharu dengan mengadaptasi budaya luar bersama ideologi kejurulatihannya sendiri.

“Ini adalah peluang untuk saya menimba ilmu dan belajar bagaimana untuk mengadaptasi diri di negara orang.

“Saya mempunyai budaya saya sendiri untuk Malaysia, namun saya mahu melihat bagaimana ideologi yang saya ada boleh digabungkan dan dikongsi bersama mereka, kerana mereka juga mahu pemain berada di tahap dunia,” ujarnya.

Hatsun Badminton Centre yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Madurai itu memiliki fasiliti lengkap termasuk trek larian di kawasan seluas 10 ekar.