KUALA MUDA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah membongkar kegiatan dua premis makanan yang menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa dalam satu operasi bersepadu di daerah ini pada Ahad.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan yang dijalankan sekitar 11 pagi itu melibatkan kilang memproses mi, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe yang diedarkan ke pasaran seluruh negara.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada bungkusan produk tanpa pensijilan sah, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada pengguna Islam.
“Kita telah menyita pelbagai jenis produk termasuk mi kuning, kuey teow, laksa, tempe serta pek pembungkusan pelbagai saiz yang menggunakan logo halal JAKIM dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM87,057,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Operasi bersepadu itu turut disertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan seramai 27 anggota penguat kuasa daripada pelbagai jabatan.
“Operasi yang dijalankan di kilang memproses dan stor penyimpanan ini merangkumi perakuan dan penandaan halal yang digunakan oleh premis, status pensijilan halal serta pemeriksaan penguatkuasaan di bawah akta-akta KPDN,” jelasnya.
Menurut Muhammad Nizam, kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan berulang, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Beliau menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo halal demi keuntungan semata-mata.
“KPDN Kedah memberi amaran agar peniaga tidak menggunakan logo halal tanpa perakuan sah daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN),” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi bersepadu di seluruh negeri selaras dengan inisiatif kerajaan melalui gerakan massa ‘Kita Gempur’.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkan laporan melalui portal e-Aduan 2.0 di http://eaduan.kpdn.gov.my atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317.