Jangan tergesa-gesa kembalikan UPSR, PT3 - MCA

Iklan
Yee Fung dalam kenyataan pada Sabtu.

SHAH ALAM – Cadangan untuk mengkaji pelaksanaan semula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) menggambarkan ketidakstabilan dasar pendidikan negara.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, langkah itu dilihat akan mewujudkan tekanan sosial kepada pelajar, ibu bapa dan guru.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah memansuhkan UPSR dan PT3 pada 2021 dan 2022 dan menggantikannya dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai pendekatan baharu penilaian pelajar.

"Namun hanya dalam tempoh beberapa tahun, kerajaan kini mengumumkan untuk meneroka semula sama ada peperiksaan itu perlu dikembalikan.

Iklan

"Ini menunjukkan dasar pendidikan yang sering berubah menyebabkan kekeliruan dan anak-anak bukan ‘tikus makmal’ dan dasar pendidikan bukan sebuah makmal ujikaji,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa sebarang reformasi sistem pendidikan sepatutnya dilaksanakan berdasarkan kajian menyeluruh.

Iklan

Tambahnya, keputusan untuk mengubah dasar sedia ada tanpa penilaian lengkap hanya akan menjejaskan kestabilan sistem pendidikan negara.

"Sejak pemansuhan UPSR dan PT3, pelajar yang memasuki Tahun Satu ketika itu masih belum menamatkan persekolahan mereka.

“Dalam keadaan satu kitaran pendidikan enam tahun pun belum selesai, sudah tergesa-gesa membincangkan untuk membatalkan keputusan terdahulu.

"Ini tindakan yang tidak bertanggungjawab sedangkan keputusan kementerian sebelum ini pastinya dibuat berdasarkan penilaian jangka panjang dan mendalam," ujarnya.

Yee Fung berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar menggariskan hala tuju dasar pendidikan yang lebih konsisten dan jelas.

"Selagi keberkesanan sebenar PBS belum dinilai sepenuhnya dan sekurang-kurangnya satu kitaran pendidikan lengkap belum dilalui, jangan tergesa-gesa ubah pendekatan.

"Apatah lagi membatalkan reformasi pendidikan yang telah dilaksanakan hanya kerana tekanan pendapat umum sementara," katanya.

Terdahulu, KPM dilaporkan sedang mengkaji pelaksanaan semula peperiksaan UPSR dan PT3 susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa dengan sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.