Tular video jual RON95 kepada kenderaan asing, stesen minyak diserbu

Iklan
Tangkap layar video tular pekerja sebuah stesen minyak mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing pada Jumaat

KPDN Cawangan Sungai Petani mengesahkan kejadian itu selepas siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) .

SUNGAI PETANI – Sebuah stesen minyak di sini diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas tular rakaman video yang menunjukkan pekerjanya mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing pada Jumaat.

KPDN Cawangan Sungai Petani mengesahkan kejadian itu selepas menjalankan siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan insiden berkenaan berlaku pada jam 9.07 pagi.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan mendapati pekerja stesen minyak tersebut telah melanggar arahan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing, yang berkuat kuasa sejak 29 April 2025.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman berat kepada individu dan syarikat yang didapati bersalah.

Iklan

“Pasukan penguat kuasa telah membuka satu kertas siasatan dan menyita resit jualan, rakaman CCTV serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Muhammad Nizam, jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Iklan

"Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara lima tahun," katanya.

Tambah beliau, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta, dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Dalam pada itu, KPDN Kedah menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang penyelewengan penjualan barangan kawalan melalui saluran aduan rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, talian bebas tol 1-800-886-800, laman sesawang eaduan.kpdn.gov.my atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.

Muhammad Nizam turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan dan menjejaskan hak rakyat untuk menikmati subsidi bahan api.