SPRM Selangor syor perkukuh tatakelola MBI

Iklan
Mohd Azwan (tiga dari kiri) bersama warga kerja MBI dan SPRM.

SHAH ALAM - Sebanyak enam syor penambahbaikan tatakelola dibentangkan Cawangan Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, antara cadangan dikemukakan adalah mewujudkan jawatankuasa khusus bagi semakan semula secara berkala polisi pemberian sumbangan, tajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam MBI.

Iklan
Iklan

Selain itu, menurut beliau, pihak tersebut mesti memasukkan prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap sumbangan yang diberikan bagi menutup ruang kepada isu penyelewengan dan salah guna wang.

Katanya lagi, MBI perlu memasukan klausa berkaitan kesalahan-kesalahan rasuah dan hukuman di bawah Akta SPRM 2009 serta mewujudkan pangkalan data atau sistem integrasi yang dibangunkan secara berpusat dikendalikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Iklan

"SPRM Selangor percaya, cadangan penambahbaikan yang disyorkan ini akan memperkukuh keupayaan MBI sebagai contoh entiti korporat kerajaan negeri berintegriti tinggi dan berakauntabiliti dalam setiap pelaksanaan tanggungjawab sosialnya.

“Inisiatif ini juga selaras aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan integriti dan tadbir urus baik sebagai teras utama pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam majlis pembentangan yang diadakan di pejabat MBI di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Pemangku Ketua Divisyen Khidmat Korporat MBI, Muhammad Hudhaifa Ahmad; Ketua Jabatan Integriti dan Governans MBI, Mudirah Muhammad Nor; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nol dan Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim.

Dalam majlis itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola antara MBI dan SPRM Selangor.

Mohd Azwan turut memaklumkan, syor penambahbaikan itu dibentang susulan pembukaan Kertas Pemeriksaan Awal SPRM pada 2023 lalu yang mendapati wujud lima kelemahan dalam pengurusan pemberian sumbangan, tajaan dan CSR MBI.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop memaklumkan, pihaknya komited dan menyambut baik pelaksanaan enam elemen penambahbaikan yang dibentang SPRM Selangor.

“Cadangan ini sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh integriti, kecekapan tadbir urus dan ketelusan organisasi,” ujarnya.