MUAR - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang wanita warga tempatan bersama seorang lelaki warga Indonesia pada Sabtu lalu kerana disyaki hidup bersekedudukan selama dua tahun hingga melahirkan seorang anak hasil hubungan luar nikah.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan itu ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di daerah ini kira-kira jam 10 pagi selepas menerima aduan awam.
“Ketika serbuan dijalankan, lelaki terbabit yang berusia lingkungan 40-an dan hanya memakai kain pelekat tanpa baju cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi berjaya ditahan anggota penguat kuasa.
“Wanita berkenaan pula ditemui dalam keadaan berkemban dengan kain batik dan hanya menutup tubuh menggunakan tuala.
“Hasil siasatan mendapati mereka tinggal serumah sejak dua tahun lalu dan wanita tersebut baru sahaja melahirkan bayi berusia tiga bulan di Hospital Muar,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, bayi tersebut mempunyai surat beranak namun tidak menyatakan nama bapa.
Selain itu, lelaki terbabit dilaporkan bekerja sebagai tukang rumah dan dipercayai menjalin hubungan sulit dengan wanita berkenaan sehingga menyebabkan kehamilan.
“Pasangan berkenaan juga mendakwa telah bernikah di Indonesia, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti sah pernikahan.
“Mereka turut tidak dapat menyatakan tarikh sebenar pernikahan serta tiada rekod pernikahan yang sah,” jelas kenyataan itu.
Pasangan tersebut kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Muar untuk siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah bagi membuktikan dakwaan telah bernikah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana persetubuhan luar nikah, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam kali sebatan, atau kombinasi hukuman tersebut jika sabit kesalahan.