JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengesahkan penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi) melibatkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi adalah terkawal dan berada dalam pemantauan rapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, setakat ini tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Menurutnya, hasil saringan kontak rapat yang dijalankan KKM mendapati enam murid disahkan menghidap Tibi, terdiri daripada empat murid lelaki dan dua murid perempuan.
“Kesemua murid terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut turun ke sekolah-sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.
Katanya, sesi berkenaan bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit Tibi serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.
Dalam pada itu, Aznan menegaskan semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu berkenaan kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi kerajaan negeri,” katanya.
Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan satu kluster Tuberkulosis atau Tibi di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu, dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan terhadap 804 kontak rapat setakat 4 Februari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan agresif bagi membendung penularan wabak berkenaan.