KLUANG – Ketua Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kluang, Shikh Mohd Farkhann meninggalkan parti itu bersama kira-kira 100 ahli menyertai Pemuda UMNO.
Menurut Shikh Mohd, keputusan tersebut dibuat selepas menilai secara menyeluruh kedudukan dan hala tuju Muda yang disifatkan semakin tidak jelas serta sukar bergerak secara bersendirian dalam landskap politik semasa.
“Secara langsung terkuburlah Parti Muda di Kluang secara keseluruhan. Dalam keadaan sekarang, Muda berdepan cabaran besar untuk berdiri sendiri.
"Persepsi pengundi, khususnya golongan muda, semakin negatif apabila Muda dilihat tiada pendirian dan hala tuju yang konsisten,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan status Muda Kluang yang menjadi tanda tanya selepas hampir setahun tidak menunjukkan sebarang aktiviti politik.
Menurutnya, usaha untuk membina kekuatan parti secara berdikari memerlukan tempoh panjang serta sumber yang besar, selain sokongan akar umbi yang kukuh.
“Perjalanan untuk membina semula kekuatan parti boleh mengambil masa sehingga 10 tahun atau lebih, melalui fasa kekurangan sumber dan pembinaan akar umbi yang mencabar,” katanya.
Dalam masa sama, Shikh Mohd berpandangan Muda masih berpeluang untuk bangkit sekiranya parti itu melakukan penjenamaan semula dengan misi dan visi yang lebih jelas.
“Muda perlu kembali dengan fokus yang jelas seperti pembangunan ekonomi, reformasi pendidikan serta peranan semak dan imbang yang rasional bagi meraih semula kepercayaan pengundi,” katanya.