'Tak sangka rumah baharu ‘disambut’ puting beliung'

Iklan
Keadaan beberapa buah rumah di Taman Damai di Pontian yang dilanda puting beliung pada petang Rabu. - Foto JBPM Johor

PONTIAN – Hasrat seorang lelaki untuk berpindah ke rumah baharu sebelum Ramadan tidak kesampaian apabila kediaman yang baru dibelinya di Taman Damai di sini rosak teruk akibat puting beliung yang melanda kawasan itu pada Rabu.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.40 petang itu, siling dan kepingan zink rumah berkenaan diterbangkan angin kencang menyebabkan pemiliknya terpaksa menangguhkan rancangan berpindah walaupun segala persiapan telah dibuat.

Iklan
Iklan

Muhamad Nur Hatim Baharudin, 36, berkata, rumah berharga RM200,000 itu baru dibelinya dan sepatutnya didiami minggu ini bersama keluarganya.

Muhamad Nur Hatim menunjukkan laporan polis apabila rumahnya dilanda puting beliung di Taman Damai pada petang Rabu.

Iklan

“Niat kami mahu berpindah sebelum sambut puasa, tetapi tak sangka rumah baharu ini ‘disambut’ puting beliung.

“Bahagian siling dan zink rosak teruk. Kami terpaksa tangguh pindah sehingga kerja pembaikan selesai,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu sebanyak sembilan buah rumah turut terjejas dengan empat daripadanya mengalami kerosakan teruk, memaksa 15 mangsa daripada tiga keluarga di Taman Damai dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Seorang lagi penduduk, Fauzi Yahmin, 47, berkata, ketika kejadian dia bersama lima anaknya sedang makan malam sebelum terdengar bunyi seperti derapan kuat disusuli angin kencang yang menerbangkan bumbung dan zink rumahnya.

“Dalam sekelip mata sahaja bumbung hilang. Puting beliung bermula dari ruang tamu hingga dapur, kemudian hujan lebat turun dan seluruh rumah dimasuki air,” katanya.

Beliau bersyukur tiada kecederaan berlaku dan kini menumpang sementara di Pusat Kegiatan KRT Taman Damai, berhadapan rumahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (2) Mukim Pontian, Ab Rahman Mohyin, berkata pihaknya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Penghulu Mukim Pontian bagi membolehkan bantuan susulan disalurkan kepada mangsa terlibat.

“Bantuan awal telah disampaikan dan kita berharap agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu meringankan beban mangsa,” katanya.