Bertemu semula selepas 40 tahun, kenang jasa pensyarah lama

Iklan
Mustapha (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Nasir (kanan) pada Majlis Reunion Alumni KSPU/FSPU 2025 pada Ahad.

PETALING JAYA - Seramai 350 alumni Kajian Senibina Perancangan dan Ukur (KSPU), Institut Teknologi Mara (ITM) (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara) dari tahun 1970-an hingga 2000-an kembali berkumpul dalam suasana penuh nostalgia menerusi majlis pertemuan semula pada Ahad.

Pengerusi Majlis Reunion Alumni KSPU/FSPU 2025, Profesor Adjung Ar Mustapha Mohd Salleh berkata, program itu diadakan bagi menghimpunkan semula rakan-rakan lama yang sudah empat dekad tidak bersua.

Iklan
Iklan

"Perjumpaan semula terbabit memang satu perjumpaan besar antara graduan-graduan ITM (kini dikenali sebagai UiTM) daripada tahun 70-an lagi sehingga ke 2000.

Mustapha (dua kiri) bersama sebahagian alumni hadir pada Majlis Reunion Alumni KSPU/FSPU 2025 pada Ahad.

Iklan

"Ramai yang sudah lama tidak jumpa, ada yang hampir 40 tahun. Kebanyakan yang hadir pun ramai telah pencen dengan umur antara 60 hingga 70 tahun, namun masing-masing masih bersemangat,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Alumni KSPU/FSPU anjuran Pertubuhan Alumni Alam Bina (PAAB), di Kelab Golf Negara Subang (KGNS), di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Mustapha turut menyerahkan cenderamata kepada Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah .

Iklan

Beliau berkata, tujuan majlis bukan sekadar mengimbau kenangan lama, tetapi juga untuk meraikan jasa para pensyarah yang pernah mendidik mereka.

"Kita hendak meraikan pensyarah- pensyarah yang berjasa. Kita pilih dua pensyarah lama bagi setiap program. Seramai 15 orang diraikan termasuk yang sudah lama bersara,” ujarnya lagi.

Sebagai contohnya, kongsi Mustapha, antara yang menjadi perhatian adalah kehadiran pensyarah, Ar Ong Suan Huah yang mengajar dua generasi dalam keluarganya.

"Dahulu beliau guru saya, sekarang anak saya pula belajar dengan beliau. Dua generasi dididik oleh pensyarah yang sama. Itupun pun satu nostalgia yang besar buat kami,” menurutnya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan sambutan hangat diterima, sekali gus membuktikan hubungan alumni masih kukuh walaupun sudah lama berpisah.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira. Sambutan sangat baik, suasana penuh mesra dan semangat kekeluargaan. Kita bukan sahaja berkumpul, tapi mengenang kembali jasa dan persahabatan yang terjalin sejak zaman kampus,” ujarnya.

Majlis penuh nostalgia terbabit turut diserikan dengan persembahan daripada Nizam Jentik-Jentik, kumpulan H50 dan AA Revisited.