Israel lancar serangan udara di Khan Yunis walaupun gencatan senjata berkuat kuasa

Iklan
Kepulan asap tebal kelihatan susulan pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza, seperti yang dirakam dari seberang sempadan di selatan Israel pada 10 Oktober 2025. Foto AFP

GAZA - Walaupun gencatan senjata yang diumumkan telah berkuat kuasa selepas tengah malam, jet pejuang Israel tetap melancarkan serangan udara pada awal pagi Jumaat ke atas bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Wartawan WAFA melaporkan bahawa pasukan pendudukan Israel membedil kawasan Al-Katiba di tengah Khan Yunis dengan beberapa das tembakan artileri, serentak dengan penerbangan dron di ruang udara bandar itu.

Iklan
Iklan

Jet pejuang Israel turut melancarkan serangan udara hebat yang menyasarkan kawasan tengah Khan Yunis pada waktu subuh.

Kerajaan pendudukan Israel secara rasmi meluluskan perjanjian gencatan senjata Gaza selepas tengah malam Jumaat, sekali gus menjadikannya berkuat kuasa.

Iklan

Terdahulu pada Jumaat, pasukan pendudukan Israel meletupkan rumah milik Mohammad Taha, rakyat Palestin yang terbunuh, di bandar Qatanna, barat laut Baitulmuqaddis yang diduduki, pada awal pagi.

Menurut wartawan WAFA, sepasukan besar tentera Israel menceroboh masuk ke bandar itu sekitar tengah malam, mengepung rumah Taha, menghalang penduduk dan wartawan daripada menghampiri, serta mengosongkan bangunan kediaman berhampiran sebagai persediaan untuk meletupkannya. Rumah itu merupakan sebuah pangsapuri dalam bangunan kediaman.

Iklan

Tidak lama selepas tengah malam, pasukan Israel mula menjalankan kerja penggalian dan merobohkan dinding rumah itu sebagai persediaan untuk perobohan hukuman.

Saksi berkata, askar pendudukan Israel melepaskan gas pemedih mata dan peluru bersalut getah semasa serbuan itu, menyebabkan beberapa penduduk mengalami sesak nafas.

Taha dan Muthanna Amro, terbunuh akibat tembakan pasukan Israel di Baitulmuqaddis yang diduduki, susulan serangan tembakan pada 9 September lalu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis malam mengumumkan pemuktamadan perjanjian pelaksanaan fasa pertama pelan damainya bagi Asia Barat, yang memperuntukkan penamatan perang di Gaza, pengunduran pasukan pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin.

Sejak 7 Oktober 2023, pasukan pendudukan Israel telah melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 67,000 orang awam dan mencederakan hampir 170,000 yang lain, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Kebuluran yang terus membadai wilayah itu turut meragut nyawa 460 orang awam termasuk 154 kanak-kanak. Bernama-WAFA