TOKYO – Sepasang suami isteri di Jepun menerima kecaman hebat selepas menyokong keputusan anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun untuk berhenti mengikuti pendidikan formal bagi menumpukan sepenuh masa pada kerjaya sebagai pemain permainan video profesional.
Remaja dikenali sebagai Tarou mula bermain permainan video sejak usia tiga tahun, namun minatnya benar-benar berkembang dua tahun kemudian apabila dia menemui permainan popular Fortnite.
Bakat luar biasanya terserlah apabila dia bukan sahaja mengatasi kemahiran bapanya, malah berjaya menewaskan pemain profesional secara konsisten ketika masih di sekolah rendah.
Menyedari potensi tersebut, ibu bapanya membuka saluran YouTube khusus untuk Tarou pada 2020 yang kini mempunyai lebih 230,000 pengikut.
Melalui saluran itu, Tarou baru-baru ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan sekolah bagi memberi tumpuan penuh kepada dunia e-sukan, dengan sasaran melayakkan diri ke Fortnite World Cup.
Keputusan itu mendapat sokongan penuh keluarganya, satu langkah yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Jepun.
Menurut bapanya, kehadiran ke sekolah dan beban pembelajaran harian dikhuatiri menjejaskan keupayaan anaknya untuk mengekalkan fokus dan prestasi.
“Jika dia perlu ke sekolah setiap hari, tekanan pembelajaran akan menghabiskan tenaganya dan menyukarkan dia menumpukan perhatian. Dia memiliki tahap fokus dan ketekunan yang luar biasa,” katanya.
Komitmen Tarou terhadap permainan itu dilihat sangat tinggi.
Bapanya mendedahkan bahawa ketika darjah dua, anaknya pernah bermain Fortnite selama 28 jam tanpa henti, malah terlupa untuk berehat atau ke tandas.
Walaupun fenomena kanak-kanak menghabiskan masa dengan permainan video bukan perkara baharu, konsistensi dan disiplin Tarou mengekalkan minat serta prestasi tinggi dianggap luar biasa.
Bagaimanapun, ibu bapanya mengakui sepenuhnya risiko yang wujud akibat keputusan meninggalkan pendidikan formal, namun percaya langkah itu paling sesuai dengan kebolehan dan cita-cita anak mereka buat masa ini.
Kenyataan tersebut bagaimanapun gagal meredakan perdebatan di media sosial.
Sebahagian netizen berpendapat sistem pendidikan konvensional bukan lagi satu-satunya laluan kejayaan, terutama dengan perkembangan pesat industri e-sukan global.
Namun, tidak kurang yang menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan itu boleh menyebabkan Tarou terlepas pengalaman penting zaman remaja.
“Zaman sekolah menengah adalah tempoh paling bermakna bersama rakan dan aktiviti kokurikulum. Adalah satu kerugian jika dihabiskan hanya dengan bermain permainan video,” tulis seorang pengguna media sosial.
Isu ini sekali lagi telah mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai keseimbangan antara pendidikan formal, bakat individu dan perubahan landskap kerjaya dalam era digital.- Agensi