SEREMBAN – Seorang pegawai bank kerugian sebanyak RM6.6 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham tidak wujud menerusi aplikasi dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita itu pada Rabu lalu.
“Mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank di sebuah institusi perbankan swasta telah ditawarkan pelaburan saham oleh seorang individu melalui aplikasi dikenali sebagai ‘Egminctd’.
“Aplikasi tersebut dimuat turun dari Google Play Store dan mangsa mula membuat pembelian saham dalam aplikasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, mangsa telah membuat 129 transaksi pembayaran antara 3 Ogos hingga 1 Oktober lalu, melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM6,655,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dan memperdayakan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.
Mohamad Hatta menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian, terutama yang tidak diketahui status dan kesahihannya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran pelaburan atas talian dan disaran membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terlebih dahulu.
“Jika telah menjadi mangsa penipuan, segera laporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tujuan menyekat pengeluaran dana,” katanya.
Polis mengingatkan bahawa peningkatan kes penipuan pelaburan menunjukkan keperluan untuk kesedaran kewangan dan digital yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat.