PERSIDANGAN Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 (PEH25) yang menghimpunkan pemain industri halal terutamanya eksekutif halal, kembali lagi pada tahun ini.
Sejak pertama kali dianjurkan Kolej Uniti Port Dickson dan Uniti Halal Centre (Uhac) pada tahun 2022, impak daripada persidangan itu semakin dirasai dalam kalangan pemain industri halal negara ini.
Persidangan yang menghimpunkan pemain industri halal, pihak berautoriti kerajaan, agensi persekutuan dan negeri, ahli akademik serta pihak industri berkaitan halal itu kini tampil dengan wadah yang dinamik setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa menjelaskan, objektif utama persidangan adalah untuk memperkasa dan meningkatkan kapasiti barisan hadapan industri halal negara yang bertanggungjawab memastikan standard halal dipatuhi di lapangan.
“Eksekutif halal merupakan individu yang bertanggungjawab mempertahankan pelaksanaan halal dalam industri.
Fokus pembangunan bakat, perkongsian global
Tambah beliau, PEH25 berbeza dengan latihan yang disertai eksekutif halal secara rutin kerana persidangan ini menyediakan ruang pembelajaran terbuka yang memperkaya pengetahuan dan memperluaskan horizon jaringan peserta.
“Persidangan kali ini menampilkan pelbagai sesi interaktif seperti forum, soal jawab, perkongsian tokoh iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan ramai lagi tokoh industri halal Malaysia di dalam negara.
“Ada juga perkongsian daripada individu yang terlibat secara langsung dalam industri halal di luar negara dan beliau turut mengupas mengenai pelaksanaan konsep halal di negara bukan Islam,” jelasnya.
Halal Edutourism antarabangsa
Menurut Amir Hamzah, satu inisiatif baharu yang bakal dilancarkan sempena PEH25 tahun ini ialah Halal Edutourism peringkat antarabangsa.
“Tahun lepas, kita melancarkan Halal Edutourism dalam negara yang mendapat sambutan hangat daripada peserta PEH24.
“Ini bukan lawatan biasa. Peserta akan melihat secara dekat bagaimana mereka mempromosikan pelancongan halal, berbincang dengan pengamal industri dan memahami cabaran umat Islam minoriti. Ia pengalaman pendidikan yang unik dan membuka minda,” katanya.
Menurutnya lagi, antara kelainan edisi kali ini mengenai topik kecerdasan buatan (AI) dan blockchain dalam industri halal.
Turut diadakan sesi Halalpreneur yang menampilkan usahawan tempatan yang berjaya membina empayar perniagaan berasaskan prinsip halal.
Meneruskan hujahnya, pertumbuhan industri halal global yang semakin pesat menjadikan keperluan terhadap tenaga kerja berkualiti semakin mendesak.
“Malaysia sendiri menyasarkan peningkatan nilai eksport halal setiap tahun, bukan sahaja bagi memenuhi permintaan Muslim, tetapi juga pengguna bukan Islam yang percaya kepada kualiti, kebersihan dan keselamatan produk halal.
Sokongan kukuh daripada kerajaan, industri
Persidangan kali ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Standard Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, selain penyertaan panel akademik dan pemain industri berpengalaman, ujarnya.
“Pihak industri termasuk perbankan, perkilangan dan perkhidmatan halal juga tampil memberikan sumbangan dalam bentuk penajaan kewangan, barangan dan hadiah kepada peserta.
Pihaknya yakin, selepas dua hari persidangan, para peserta akan kembali ke tempat kerja dengan ilmu dan semangat baharu untuk memperkukuh sistem halal di syarikat masing-masing.
“Sebagai contoh, jika kita ada 300 peserta mewakili 200 syarikat, impaknya boleh dilihat apabila mereka membawa pulang pengetahuan, idea dan nilai baharu yang akan memperkukuh organisasi dan usaha ini menyumbang secara langsung kepada industri halal negara,” katanya.
PEH25 diadakan pada 28 dan 29 Oktober 2025 di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor dan maklumat lanjut mengenainya boleh dilayari melalui https://unitihalalcentre.com/.