DAGING kultur merupakan inovasi baharu dalam bidang sains makanan yang diperkenalkan sebagai alternatif kepada daging tradisional.
Perbezaan ketara antara kedua-duanya terletak pada cara penghasilan. Jika daging tradisional terbentuk secara semula jadi melalui pertumbuhan haiwan ternakan, daging kultur pula dihasilkan di makmal menggunakan teknologi canggih.
Ia bermula daripada pengasingan sel haiwan (dikenali sebagai sel dasar) yang dikultur dalam keadaan terkawal. Sel itu berupaya berkembang menjadi komponen asas daging seperti sel otot.
Selain itu, penghasilan daging kultur turut memerlukan bahan penting seperti serum, perancah, enzim, vitamin dan bahan tambahan lain yang menyokong pertumbuhan sel dalam kuantiti besar.
Biojisim yang terbentuk akan diproses hingga menyerupai struktur daging sebenar.
Ia turut didorong oleh pelbagai isu semasa termasuk peningkatan permintaan protein global, kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan kesan perubahan iklim.
Daging kultur dijangkakan lebih sihat, mesra alam dan mampu menjaga kebajikan haiwan. Keupayaan untuk memilih sendiri bahan asas yang digunakan menjadikannya lebih terkawal dari segi nutrisi dan bebas pencemaran.
Penyelidikan daging kultur
Inisiatif daging kultur mula mendapat perhatian antarabangsa selepas Prof Mark Post memperkenalkan burger berasaskan sel pada tahun 2013.
Sejak itu, pelbagai syarikat dan institusi penyelidikan di seluruh dunia berlumba-lumba membangunkan teknologi tersebut. Negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, United Kingdom dan Australia kini telah pun memasarkan daging kultur ayam, ikan dan lembu secara komersial.
Malaysia juga tidak ketinggalan. Syarikat pemula berpusat di Pulau Pinang, Cell Agritech, menjadi antara perintis penyelidikan dan pembangunan daging kultur tempatan.
Pada 2023, syarikat itu menganjurkan persidangan antarabangsa bagi memperkenalkan teknologi itu dan menjelaskan hala tuju syarikat dalam sektor daging kultur.
Selain itu, kajian potensi pasaran daging kultur di Malaysia turut dijalankan yang diketuai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan sokongan Kementerian Ekonomi dan kerjasama penyelidik daripada beberapa universiti awam lain.
Langkah itu menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk memahami potensi sebenar industri makanan masa depan tersebut.
Antara tiga syarat utama yang digariskan bagi memastikan daging kultur halal adalah:
Sumber sel dasar mesti daripada haiwan yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak. Sel dasar tidak boleh diambil daripada haiwan hidup tanpa penyembelihan.
Bahan kultur seperti serum, enzim, perancah dan vitamin mestilah daripada sumber halal dan suci.
Keselamatan produk perlu disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Cabaran halal, keperluan piawaian syariah
Cabaran utama penghasilan daging kultur halal adalah penggunaan serum anak lembu yang diekstrak daripada darah. Ia bukan sahaja menimbulkan isu halal, malah bercanggah dengan objektif asal teknologi daging kultur iaitu mengurangkan kebergantungan kepada haiwan hidup.
Oleh itu, saintis kini giat mencari alternatif seperti serum sintetik atau berasaskan tumbuhan atau bahan kimia yang bebas daripada unsur haiwan.
Dari sudut keselamatan pula, masih terdapat perbahasan sama ada tahap ujian daging kultur perlu setanding dengan piawaian farmaseutikal atau sekadar menepati standard makanan biasa. Pihak berkuasa Malaysia perlu meneliti perkara itu sebelum produk tersebut boleh dipasarkan secara rasmi.
Syarat pertama ditetapkan IIFA adalah keperluan sel dasar halal yang menjadi cabaran utama. Kebanyakan penyelidikan terdahulu menggunakan sel daripada haiwan tidak disembelih atau tidak halal.
Namun, apabila negara-negara Arab mula melabur dalam bidang itu dan menekankan produk patuh syariah, permintaan terhadap kaedah penghasilan sel dasar halal semakin meningkat.
Sebagai respons terhadap keperluan itu, UPM telah telah memulakan penyelidikan rintis bagi menghasilkan sel dasar halal untuk daging kultur. Projek itu diterajui Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali bersama pasukan penyelidik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Sains dan Teknologi Makanan.
Hasil awal menunjukkan, Malaysia memiliki kepakaran untuk membangunkan sel dasar patuhi syariah. Kajian lanjutan diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan serta memastikan bahan lain seperti serum dan perancah juga memenuhi syarat halal dan keselamatan.
Namun, kos penyelidikan yang tinggi menjadi cabaran utama kerana kebanyakan bahan dan teknologi masih diimport.
Justeru, usaha menghasilkan bahan kultur halal tempatan amat diperlukan. Dengan sokongan kerajaan, Malaysia berpotensi menjadi pengeksport utama komponen halal bagi industri daging kultur global.
Daging kultur diyakini mampu revolusikan industri makanan masa depan termasuk dalam pasaran halal global. Namun, penerimaannya dalam kalangan umat Islam bergantung kepada sejauh mana prinsip syariah dipatuhi.
Kerjasama erat antara saintis Muslim, industri halal dan agensi penggubal dasar amat penting bagi memastikan inovasi itu dimanfaatkan sepenuhnya tanpa mengabaikan nilai agama serta etika.
Dengan hala tuju penyelidikan yang jelas, Malaysia berpeluang muncul sebagai peneraju daging kultur halal dunia.
*Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohamad Naqib Hamdan & Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Hanis Hazeera Harith