136 notis dikeluarkan bawah Akta 852 sejak 1 Oktober di Pulau Pinang

Iklan
Sebanyak 136 notis dikeluarkan di Pulau Pinang sejak Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober. Foto hiasan

GEORGE TOWN - Sebanyak 136 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah dikeluarkan di Pulau Pinang sejak penguatkuasaan bermula pada 1 Oktober lalu.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, daripada jumlah itu, lapan kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun.

Iklan
Iklan

“Enam daripada kertas siasatan itu melibatkan larangan penjualan produk tembakau dan sebagainya di bawah subseksyen 10(1).

“Ia termasuk dua kes atas kesalahan mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau kecuali di kedai khas,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, selain tindakan penguatkuasaan, sebanyak 326 advokasi kesihatan turut dijalankan sepanjang tempoh berkenaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya produk tembakau dan e-rokok.

“Kerajaan negeri menyokong penuh pelaksanaan Akta 852 ini demi memastikan persekitaran lebih sihat dan bebas rokok, khususnya bagi melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin,” tambahnya.

Iklan

Akta 852 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu memberi kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan untuk mengambil tindakan terhadap penjualan, pengiklanan dan penggunaan produk tembakau, bahan merokok serta produk pengganti tembakau seperti e-rokok dan vape.

Penguatkuasaan akta itu turut membolehkan tindakan diambil terhadap premis yang menjual atau mempamerkan produk tersebut secara terbuka, selain memperkukuh usaha kerajaan dalam mewujudkan zon larangan merokok di kawasan awam.