ALOR SETAR – kejayaan Kerajaan Negeri Kedah mencatat sejarah merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun berjumlah RM816 juta bagi tahun 2025 adalah hasil pentadbiran stabil dan cemerlang.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pencapaian luar biasa itu melepasi sasaran asal RM790 juta dengan kadar pencapaian 103 peratus membuktikan kecekapan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan pentadbiran menyeluruh yang digerakkan secara kolektif oleh semua agensi kerajaan negeri.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi hasil daripada kesungguhan dan komitmen semua pihak termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan negeri.
“Pencapaian ini juga membuktikan bahawa gagasan The Greater Kedah bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui hasil yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar dan barisan Exco serta seluruh jentera pentadbiran negeri atas prestasi cemerlang yang dicapai sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, lebihan hasil atau surplus sebanyak RM48 juta turut direkodkan, mengukuhkan lagi kedudukan kewangan negeri dan memberi ruang kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif untuk rakyat.
“Trend peningkatan hasil ini amat memberangsangkan, bermula RM629 juta pada 2023, meningkat kepada RM769 juta pada 2024 dan kini mencecah RM816 juta pada 2025,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Kedah agar terus mendoakan kesejahteraan kepimpinan negeri dan menyokong usaha kerajaan dalam membawa negeri ke arah kemajuan dan kesejahteraan menyeluruh.
“Semua ini selari dengan slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ serta aspirasi negeri sebagai ‘tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti’,” katanya lagi.