Terompah kayu merentas generasi

Iklan
Angeli menunjukkan terompah yang dihasilkan dan dijual di premisnya.

GEORGE TOWN – Bimbang warisan tradisi semakin dilupakan generasi muda, sepasang suami isteri di Pulau Pinang tekad menghidupkan kembali penggunaan terompah kayu dengan mengusahakan pembuatan produk warisan itu secara serius sejak lebih sedekad lalu.

Pengusaha terompah, Angeli Choo, 57, berkata, dia tidak mahu terompah atau 'kah kiak' dalam slanga Hokkien hilang ditelan zaman kerana ia pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tempatan khususnya pada era 1970-an.

Iklan
Iklan

Katanya, generasi muda hari ini ramai yang tidak lagi mengenali terompah menyebabkan ramai warga emas datang ke kedainya membawa anak dan cucu untuk menceritakan semula adat serta budaya yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu.

Menurutnya, keadaan itu mendorong dia dan suami, Teh Guan Heng, 57, untuk terus mempertahankan seni pembuatan terompah agar warisan itu dapat diperkenalkan kembali kepada masyarakat masa kini.

Iklan

Angeli berkata, impiannya bukan sekadar mempopularkan semula terompah, tetapi mahu melihat hasil tangan tradisional Pulau Pinang itu menerima pengiktirafan rasmi sebagai warisan budaya berzaman oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, terompah adalah lambang identiti masyarakat setempat dan usaha memeliharanya penting untuk memastikan nilai sejarahnya terus diwarisi generasi akan datang.

Iklan

Angeli menyusun terompah yang telah siap di hadapan premis perniagaannya.

Mengimbas kembali permulaan perniagaan mereka, Angeli menjelaskan ia bermula hanya sebagai hobi dan aktiviti bersama anak-anak ketika cuti sekolah.

Namun minat orang ramai terhadap terompah buatannya menyebabkan pasangan itu mengambil keputusan untuk mengkomersialkan hasil tangan mereka melalui jenama Patricia Choo Collection pada tahun 2014.

"Sejak itu, kami mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 pasang terompah setiap hari, bergantung kepada jumlah pesanan dan tahap kerumitan lukisan yang diminta.

"Dalam proses pembuatan terompah, kami menggunakan kayu jenis jelutong iaitu kayu yang ringan dan mudah dibentuk berbanding jenis kayu lain," ujarnya.

Dia menambah, kayu jelutong dipotong dan diukir terlebih dahulu di sebuah kilang kecil yang mempunyai mesin khas untuk mendapatkan bentuk tapak yang lebih seragam.

"Selepas siap diukir di kilang, tapak kayu itu dibawa ke kedai mereka di Jalan Rangoon untuk proses seterusnya iaitu melicinkan permukaan kayu.

"Saya kemudian akan melukis pelbagai corak dengan tangan pada permukaan terompah untuk memberikan identiti dan sentuhan tradisional yang unik.

"Proses terakhir ialah memasang getah pada atas kayu berkenaan sehingga lengkap menjadi sepasang terompah yang sedia dijual kepada pelanggan," jelasnya.

Menurutnya, terompah yang dihasilkan tersedia dalam pelbagai saiz iaitu S, M dan L mengikut kategori lelaki, perempuan serta kanak-kanak.

"Walaupun proses membuatnya panjang dan memerlukan ketelitian, saya mengekalkan harga mampu milik iaitu RM20 untuk terompah tanpa lukisan dan RM38 untuk yang mempunyai lukisan tangan.

"Jujur saya katakan, jual terompah bukannya untung pun. Tetapi disebabkan kami tidak mahu terompah ini lenyap, kami teruskan juga perniagaan ini demi warisan tradisi," katanya lagi.

Angeli berkata, sebelum pandemik Covid-19, kedai mereka menjadi antara lokasi yang sering disyorkan oleh pemandu pelancong kepada pengunjung dari Singapura, Indonesia dan beberapa negara Eropah.

"Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pelanggan dari negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur turut membantu meneruskan kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

Selain terompah, Angeli juga menjual cenderamata berbentuk terompah untuk pelancong.

Anak jati Pulau Pinang itu menambah, terompah bukan hanya popular dalam kalangan masyarakat Peranakan dan Hokkien malah suatu ketika dahulu turut digunakan masyarakat Melayu terutama ketika ke surau.

"Terompah selalunya akan digunakan oleh mereka di kawasan basah seperti pasar dan ruang dapur.

"Ia amat popular dalam kalangan orang dahulu, budak zaman sekarang, ada yang tidak kenal dengan terompah. Mungkin mereka tengok di dalam buku atau internet sahaja, bukan secara live," ujarnya.

Angeli turut berharap usaha kecil mereka itu mampu menghidupkan kembali tradisi lama agar tidak terus hilang daripada pengetahuan masyarakat.

Menurutnya, selagi ada yang menghargai warisan ini, dia dan suami akan terus menghasilkan terompah dengan penuh dedikasi dan kasih terhadap seni tradisi tersebut.

"Harapan kami hanya satu iaitu tidak mahu terompah kayu yang sarat nilai budaya ini pupus begitu sahaja dan mahu ia kekal menjadi kebanggaan Pulau Pinang," katanya mengakhiri perbualan.