345,259 pelajar di Kedah mulakan sesi persekolahan 2026

Iklan
Abdul Rahim (tengah) pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama persekolahan di Kolej Sultan Abdul Hamd, Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR – Seramai 345,259 murid di seluruh Kedah memulakan sesi persekolahan 2026 pada Ahad yang melibatkan 753 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat, berkata daripada jumlah itu, 199,208 murid bersekolah di 548 sekolah rendah manakala 146,051 murid di 205 sekolah menengah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 29,004 murid Tahun Satu memulakan alam persekolahan manakala 28,778 murid Tingkatan Satu pula melangkah ke peringkat menengah.

"Seramai 30,674 guru juga telah melaporkan diri bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan tahun ini,” katanya ketika meninjau hari pertama persekolahan di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini.

Iklan

Jelas Abdul Rahim, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha memastikan tiada murid tercicir serta mengurangkan kadar ketidakhadiran ke sekolah.

Menurutnya, JPN Kedah akan terus memantau kehadiran murid serta bekerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan tiada murid tercicir dan semua mendapat pendidikan secara optimum sepanjang tahun 2026.

Iklan

“Ini antara agenda utama kami tahun ini. Kami mahu pastikan setiap murid mendapat akses pendidikan yang sewajarnya tanpa ada yang tercicir.

"Walaupun ada sekolah yang hanya mempunyai kurang daripada 10 murid, ia tetap beroperasi bagi memastikan pendidikan sampai ke semua pelajar,” ujarnya.

Tambahnya, sesi persekolahan kali ini turut menyaksikan pembukaan sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baharu Sungai Lalang di Sungai Petani.

Menurutnya, daripada keseluruhan sekolah yang beroperasi, 598 sekolah adalah sekolah kerajaan manakala 155 lagi sekolah bantuan kerajaan.

"Sebanyak 689 sekolah menjalankan sesi pagi, 63 sekolah dua sesi, dan satu sekolah beroperasi pada sesi petang di negeri ini," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerjasama erat juga dijalinkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui penempatan seorang Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah.