90 kes rogol, 43 kes buli pelajar Kedah pada 2025 - Polis

Iklan
Adzli (empat kiri) lawat semasa lawatan bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat di Kolej Sultan Abdul Hamid, di Alor Setar sempena hari pertama sesi persekolahan 2026 pada Ahad.

ALOR SETAR – Sebanyak 90 kes rogol membabitkan pelajar sekolah serta 43 kes buli direkodkan di Kedah sepanjang tahun 2025, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, statistik tersebut menunjukkan isu jenayah melibatkan pelajar tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada 90 kes rogol yang direkodkan sepanjang tahun lalu, 78 kes melibatkan pelajar sekolah menengah manakala 12 kes lagi membabitkan murid sekolah rendah.

“Siasatan yang dijalankan oleh Unit D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati kebanyakan kes rogol membabitkan pelajar sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.

Iklan

“Ia antaranya disebabkan pergaulan bebas tanpa pengawasan, kepercayaan yang disalahgunakan serta kecuaian dalam menjaga batas pergaulan,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika lawatan bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat di Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini, sempena hari pertama sesi persekolahan 2026.

Iklan

Dalam pada itu, Adzli turut mendedahkan bahawa 43 kes buli direkodkan di Kedah sepanjang 2025, meningkat mendadak berbanding 10 kes pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 330 peratus.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah, manakala dua kes lagi melibatkan sekolah persendirian.

“Daripada keseluruhan kes buli itu, seramai 31 pelaku telah ditangkap dan 11 daripadanya telah dituduh di mahkamah. Statistik ini membuktikan bahawa perbuatan buli bukan isu kecil dan akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa tiada perlindungan undang-undang terhadap sebarang perlakuan jenayah, walaupun pelaku masih di bawah umur atau berstatus pelajar sekolah.

Sebagai contoh, Adzli merujuk kes buli yang berlaku di Sungai Petani pada Julai 2025, apabila dua murid perempuan Tingkatan Satu didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kes ini membuktikan bahawa satu tindakan salah boleh membawa implikasi besar terhadap masa depan seseorang,” ujarnya.

Mengulas aspek pencegahan, beliau menekankan kepentingan kesedaran keselamatan diri dan pendidikan seksual dalam kalangan pelajar bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah.

Menurutnya, tiada sesiapa mempunyai hak untuk menyentuh, memaksa atau mengambil kesempatan ke atas diri seseorang sama ada secara fizikal, emosi atau melalui media sosial.

“Sekiranya berlaku sebarang gangguan atau perlakuan mencurigakan, pelajar perlu segera melaporkan kepada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa,” ujarnya.