SHAH ALAM - 'Kami tunggu mereka pulang'.
Itu antara reaksi rakyat Malaysia sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kesemua 23 sukarelawan negara yang ditahan rejim Zionis Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Fortilla (GSF) ke Gaza dibebaskan.
Rata-rata warganet melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang berjaya membawa keluar semua aktivis dalam tempoh yang singkat selepas konvoi kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa dekat Gaza.
Mieraakina menerusi akaun Thread memaklumkan dia sedia menyambut kepulangan wira dan wirawati negara itu sebaik tiba di tanah air.
"Assalammualaikum WBT Tuan Nadir Nuri @nadiralhuri, betul jika wira dan wirawati kita nak berangkat pulang ke tanah air Malaysia mohon bagitahu dulu tau.
"Kami nak standby (bersedia) pergi KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) nak sambut kepulangan mereka. Kami nak bagitahu kami bangga sangat dengan mereka. Full of respect (penuh rasa hormat)," kata jurusolek itu.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook Missy Tim menzahirkan rasa terima kasih kepada Anwar dan pasukannya.
"Alhamdulillah. Syukur. Terima Kasih Dato' Seri Anwar Ibrahim dan tim yang bertungkus lumus dalam usaha pembebasan wira-wirawati negara kita. Semoga Allah mudahkan segala urusan dan mereka selamat pulang," katanya.
Bagi Zainol Abidin, hubungan diplomatik penting dalam membantu membebaskan kesemua aktivis negara itu.
"Pmx dan team telah membuktikan bahawa hubungan diplomatik dan mesra dalam hubungan antarabangsa telah berjaya melakukan tugas dengan begitu pantas untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan oleh yahudi Zionis.
"Tahniah pmx... team dan rakyat Malaysia yang tidak putus menyokong usaha dunia untuk terus menekan negara haram Israel," katanya.
Media melaporkan kesemua sukarelawan GSF kini dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel dan seterusnya ke Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Mereka diterbangkan menggunakan pesawat khas dari Turkiye selepas rundingan diplomatik pelbagai hala dan mendapat persetujuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk menguruskannya.
Peserta kini sedang diselaraskan untuk transit di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma semasa dalam tahanan.