SHAH ALAM - Permintaan seorang pemuda untuk menyunting foto pernikahannya dengan memasukkan semua ahli keluarga yang telah meninggal dunia meruntun hati ramai pengguna media sosial.
Abdur Rahman Amir Ruddin, 21, meluahkan hasrat berkenaan di platform Threads agar gambar Allahyarham ibu, bapa dan adik-beradiknya dapat ‘hadir’ dalam foto perkahwinannya sebagai kenangan.
"Ada tak yang boleh tolong editkan arwah family saya semua tu ada dalam gambar wedding saya.
"Siapa punya gambar paling real edit saya akan bingkaikan dan letak di sebelah katil saya supaya hari-hari boleh tengok ibu, abi dan adik-adik saya hehe," kongsinya.
Pada 1 September 2023, Abdur Rahman menjadi yatim piatu sekelip mata selepas enam ahli keluarganya maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat–Kuantan.
Selain bapa, Amir Ruddin Ismail, 46; ibu, Noorahimah Noor Muhamad, 43; turut maut empat adik-beradiknya iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Bagaimanapun, seorang lagi adiknya, Abdullah kini berusia 17 tahun, yang turut berada dalam kenderaan berkenaan menjadi satu-satunya ahli keluarga Abdur Rahman yang terselamat.
Abdur Rahman sebelum ini berkongsi detik bahagianya bergelar suami kepada wanita dikenali Wahidatul Imtiyazzah menerusi hantaran di akaun TikTok dengan perkahwinan berlangsung pada Disember lalu.
Sementara itu, permintaan pemuda itu ditunaikan warga maya dengan berkongsi gambar telah disunting yang cukup menyentuh jiwa.