KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan isu pengosongan rumah di kawasan berkenaan.
Penasihat jawatankuasa itu, Muzaffar Razman berkata, keputusan mahkamah pada Jumaat melibatkan rumah teres di kampung berkenaan yang telah diputuskan untuk dilaksanakan arahan pengosongan.
Beliau menjelaskan, sebelum ini penduduk sudah memfailkan rayuan terhadap Order 89 ke Mahkamah Rayuan namun belum ditetapkan tarikh pendengaran.
“Perlaksanaan pengosongan telah difailkan lebih awal, tetapi ditolak oleh pendaftar. Apabila dibawa semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini (Jumaat), hakim menolak permohonan penduduk untuk menangguhkan perlaksanaan itu.
“Salah satu alasan yang digunakan pemaju adalah mendakwa penduduk sebagai ‘perusuh’, selain menunjukkan gambar dan kehadiran polis, menyebabkan hakim tidak mahu memberi kebenaran penangguhan,” katanya pada sidang media khas di hadapan Pusat Internet Kampung Sungai Baru di sini malam Jumaat.
Muzaffar berkata, pihaknya mempunyai tempoh kira-kira 30 hari untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan persiapan dokumen sedang dibuat oleh peguam.
Beliau mendakwa, isu yang berlaku melibatkan kecuaian daripada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung sempadan tanah di Kampung Baru yang dianggap sebagai kawasan bernilai tinggi atau ‘tanah emas’.
“Sejak zaman British lagi, tanah ini (termasuk Kampung Sungai Baru) sudah ditetapkan berbentuk segi empat. Tidak boleh sesuka hati ditukar sempadannya.
"Tetapi berlaku kecuaian pentadbiran kerana menganggap warta 530 tahun 1921 itu sempadan, sedangkan ia hanya kawasan pentadbiran. Inilah yang menyebabkan berlaku kecuaian pihak berkenaan sejak awal,” katanya.
Pada Jumaat, seramai 23 penduduk rumah teres di Kampung Sungai Baru gagal dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menangguhkan perintah pengosongan kediaman, 15 Julai lalu.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.