KOTA TINGGI – Rakyat diminta agar memberi ruang kepada kerajaan menggunakan pendekatan diplomatik bagi memastikan 12 rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) pada Khamis, dibebaskan dengan segera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, justeru saluran diplomatik antarabangsa menjadi pendekatan utama.
"Saya percaya dalam hal ini tidak memerlukan tindakan tentera, sebaliknya perlu guna saluran diplomatik. Kalau kita guna saluran tentera, tentunya dari segi kemampuan dan keupayaan, kita jauh ketinggalan.
"Kemudian, bagaimana pula dengan nyawa mereka yang ditahan itu? Atas sebab itu, rakyat perlu faham usaha yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti serta Town Hall Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS)/Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daerah Kota Tinggi 2025 di Kolej Vokasional Kota Tinggi, pada Khamis.
Seramai 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan telah dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat jam 10 pagi, Khamis lalu.
Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi meminta rakyat menyokong usaha Perdana Menteri tanpa mensensasikan isu tersebut.
Beliau seterusnya memberi contoh mengenai warga Thailand yang pernah ditahan Israel dua tahun lalu, di mana kerajaan Thailand menggunakan saluran diplomatik untuk mendapatkan bantuan.
"Malaysia menggunakan pendekatan sama bagi memastikan keselamatan rakyatnya. Pendekatan ini menunjukkan Malaysia adalah kawan dan sahabat yang boleh dipercayai. Perdana Menteri telah menghubungi Turki, Mesir dan Qatar untuk kerjasama.
"Masyarakat diminta beri ruang supaya usaha ini berjalan lancar. Jangan keruhkan keadaan dengan demonstrasi. Kita hendak selesaikan secara diplomatik kerana yang kita utamakan ialah keselamatan rakyat yang ditahan," ujarnya.
Pada Oktober 2023, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin telah meminta bantuan daripada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan pembebasan 14 rakyat Thailand yang didakwa dijadikan tebusan oleh Hamas semasa pertempuran Palestin-Israel.
Jurucakap kerajaan, Chai Watcharong berkata, Srettha yang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu telah membangkitkan isu warganegaranya yang diculik ketika bertemu dengan Anwar di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Thailand juga meminta bantuan daripada Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Qatar untuk memudahkan rundingan bagi pembebasan rakyatnya.