'Datuk John' akan didakwa enam pertuduhan seludup minyak masak ke Thailand Rabu ini

Iklan
Kesemua suspek yang ditahan kerana dipercayai melakukan kegiatan penyeludupan minyak masak ke Thailand.

KOTA BHARU – Dalang sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi dikenali sebagai 'Datuk John' dijangka berdepan enam pertuduhan di mahkamah pada Rabu ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu disambung tiga hari lagi berkuat kuasa Isnin bagi melengkapkan siasatan.

Iklan
Iklan

“Suspek utama akan dituduh pada Rabu ini dengan enam pertuduhan.

“Tujuh lagi individu lain termasuk dua anggota penguat kuasa yang ditahan dalam operasi sama dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi selepas tamat tempoh reman,” katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Balai Besar di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau sebelum itu menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena ulang Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56.

Akhbar sebelum ini melaporkan lapan individu ditahan dalam tiga operasi berasingan di Kota Bharu dan Pasir Puteh pada Khamis lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi.

Iklan

Dalam serbuan bermula jam 7 malam itu, pihak berkuasa merampas lebih 11 tan minyak masak bernilai RM27,625 dari dua lori, sebuah pacuan empat roda dan sebuah Toyota Vellfire.

Menurut Azman, siasatan mendapati sindiket berkenaan menyeludup bekalan minyak masak menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Untuk kuantiti besar, mereka menggunakan laluan Sungai Golok, manakala jumlah kecil diseludup menggunakan kenderaan mewah melalui ICQS dengan pemandu terdiri daripada anggota penguat kuasa terbabit.

“Bekalan minyak masak dipercayai diambil dari Negeri Sembilan dan Selangor menggunakan permit pembekal atas nama individu lain sebelum diseludup ke Thailand bagi meraih keuntungan berganda,” katanya.