BUTTERWORTH - Risiko penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat dikenal pasti sebagai antara ancaman serius terhadap keselamatan jalan raya apabila ia berpotensi menjejaskan keupayaan pemanduan sehingga boleh mencetuskan kemalangan maut.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, terdapat trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan segelintir pemandu kenderaan berat, dipercayai bagi mengelakkan keletihan serta meningkatkan daya tahan fizikal ketika memandu jarak jauh.
Menurutnya, perkara itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan pihaknya bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebelum ini.
"Memang ada pemandu kenderaan berat yang gagal dalam ujian saringan yang dijalankan AADK.
"Sudah pasti kita akan mempertingkatkan pemantauan dan tindakan dari semasa ke semasa selain bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam menangani isu ini,"katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Setia JPJ Negeri Pulau Pinang di Ibu Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berhubung 261 pemandu kenderaan berat yang dikenal pasti terbabit penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifly berkata, JPJ Pulau Pinang akan menggunakan sepenuhnya kamera badan dalam semua operasi penguatkuasaan sepanjang tahun ini.
Jelasnya, penggunaan kamera badan merupakan langkah strategik Kementerian Pengangkutan dan JPJ dalam memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.
"Sebenarnya penggunaan kamera badan telah bermula sejak November lalu, namun belum dilaksanakan secara meluas. Kali ini kita akan gunakan sepenuhnya.
"Kamera badan ini akan merakam semua aktiviti penguatkuasaan dan membuktikan kesungguhan JPJ melaksanakan tugas secara telus serta berintegriti," katanya.
Tambahnya, rakaman kamera badan juga dapat menepis pelbagai persepsi negatif serta dakwaan tidak berasas terhadap anggota penguat kuasa yang sering tular di media sosial.
Setakat ini sebanyak 14 kamera badan telah dibekalkan oleh ibu pejabat kepada JPJ Pulau Pinang dan pihaknya berharap jumlah itu dapat ditambah dari semasa ke semasa.