SHAH ALAM – Langkah pengukuhan terhadap tadbir urus kewangan negara menerusi pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95) pada masa sekarang mampu menjamin kestabilan ekonomi pada masa depan menerusi penjimatan yang boleh disalurkan semula untuk kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks tersebut, BUDI95 menyaksikan subsidi sedia ada tidak terhapus, sebaliknya diurus dengan lebih bijak demi mengelakkan negara terdedah kepada krisis ekonomi.
Pakar ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim menjelaskan, beban kewangan negara berisiko memuncak sekiranya subsidi terus disalurkan secara pukal tanpa kawalan.
Menurutnya, tanpa sebarang langkah kawalan subsidi, ekonomi rakyat, khususnya golongan sasar juga akan terus berada pada tahap lama dan tidak menyumbang kepada ransangan rantaian ekonomi negara.
"BUDI95 dilihat mampu mengukuhkan kewangan negara untuk jangka masa panjang sekiranya pelaksanaan ini menepati golongan sasaran dan pada masa yang sama kebocoran dan ketirisan subsidi petrol95 tidak lagi berlaku.
"Kaedah ini juga mungkin mampu elak kejutan ekonomi di masa hadapan sekiranya kadar subsidi ini disemak secara berkala iaitu tiga atau empat bulan sekali, bagi memastikan jumlah subsidi petrol yang ditanggung oleh kerajaan mampu dibiayai oleh pendapatan negara.
"Langkah ini seterusnya mampu mengelak daripada unjuran bajet yang terlaku tinggi sehingga menyebabkan hutang negara terus membengkak dan mampu menggugat kestabilan ekonomi negara pada bila-bila masa," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Pelaksanaan inisiatif tersebut dibuat di bawah program BUDI95, sementara bagi bukan warga negara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menikmati harga bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.
Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan Madani mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, penggunaan Mykad sebagai mekanisme pelaksanaan BUDI95 juga dilihat relevan sebagai salah satu kaedah yang mampu mengatasi masalah kebocoran dalam pasaran.
Bagaimanapun katanya, melalui BUDI95 kerajaan mungkin mampu menjimatkan perbelanjaan subsidi dalam jangka pendek sahaja kerana harga minyak bergantung kepada harga pasaran petrol.
"Sekiranya di masa akan datang, harga meningkat naik dan kerajaan dijangka akan terpaksa berbelanja tinggi bagi menampung subsidi ini.
"Sudah pasti ini memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan terhadap subsidi dijangka akan terus meningkat naik dan mampu mencecah puluhan billion di masa akan datang," katanya.
SH: Penjimatan nampak kecil, impak besar
Dalam pada itu, Pengurus SSAG Creative Resources, Siti Soleha Abdul Ghani menyambut baik pelaksanaan BUDI95 yang dilihat mampu memberi kesan penjimatan terhadap perbelanjaan.
Katanya, secara purata, siling kelayakan 300 liter sebulan amat memadai melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu.
"Kalau tengok, sekali isi minyak memang nampak kecil penjimatan, tetapi jika dikira secara bulanan keseluruhannya memberi kesan yang baik pada perbelanjaan saya.
"Saya percaya, apa-apa penjimatan kecil pun bila digabungkan akan memberi kesan positif pada jangka panjang," katanya.
Tambahnya, syarat yang ditetapkan dalam mekanisme pelaksanaan juga diyakini mampu mengelakkan ketirisan, namun kerajaan perlu memberi jaminan bahawa kawalan terhadap sistem perlu benar-benar efisyen bagi mengelakkan berlaku kelompongan.
"Sebelum ni kita nampak ada kereta dari Thailand dan Singapura isi minyak bersubsidi. Ada juga yang salah guna dengan membeli minyak bersubsidi untuk dijual semula.
"Jadi dengan kaedah bawah BUDI95, nampak kerajaan serius membendung ketirisan dan pada masa sama membantu rakyat," katanya.
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Ilmu, Mohd Yusri Mohd Yusof, pelaksanaan BUDI95 wajar disokong, bahkan kerajaan sepatutnya memperkenalkan inisiatif tersebut lebih awal.
Realitinya ujar beliau, sukar untuk memuaskan hati semua pihak terhadap pelaksanaan inisiatif itu, bagaimanapun ramai yang menyokongnya.
"Saya sokong BUDI95, perlaksanaannya mestilah benar-benar beri manfaat setiap lapisan masyarakat khususnya pendapatan rendah atau B40.
"Dengan penjimatan yang disasarkan melalui BUDI95 ini, sudah tentu rakyat juga harapkan kerajaan dapat salur lebih banyak insentif akan datang," katanya.
Justeru, penting untuk memastikan pelaksanaan BUDI95 dapat merealisasikan usaha kerajaan untuk menegakkan keadilan sosial serta menutup ruang ketirisan seterusnya menjadikan pengagihan lebih saksama.
Ini kerana, setiap penjimatan hasil pengurusan sumber negara yang baik menjadi asas kukuh bagi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan generasi akan datang.