KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap nasib hampir 300,000 pembantu tadbir di seluruh negara dengan menambah baik skim perkhidmatan jawatan tersebut.
Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, penambahbaikan itu penting kerana jawatan berkenaan memainkan peranan besar dalam melancarkan urusan pentadbiran awam.
Menurut beliau, Cuepacs telah mengemukakan tiga cadangan utama kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
“Pertama, pembantu tadbir yang kini berada pada gred N19 boleh ditingkatkan ke gred N25 atau N29 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Kedua, beri ‘one-off’ kepada mereka yang mempunyai kelayakan lebih tinggi daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jika ada diploma atau ijazah, skim mereka perlu dipertingkatkan kepada N25 lebih awal,” katanya pada sidang akhbar, Sabtu.
Sebelum itu, beliau hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Cuepacs Kelantan di Institut Pendidikan Guru (IPG), Pengkalan Chepa di sini.
Menurut beliau, cadangan ketiga ialah supaya pegawai yang telah dilantik pada gred N19 dan genap 15 tahun berkhidmat sebagai pembantu tadbir boleh diberi pilihan naik ke gred N25.
“Selepas itu barulah laluan kenaikan pangkat ke N26, N27 dan N28 dibuka. Kemudian, selepas bersara, waran tersebut kembali semula kepada N19,” jelasnya.
Adnan menegaskan, cadangan itu bukan bermaksud menghapuskan jawatan pembantu tadbir sedia ada, sebaliknya memberi nafas baharu dalam bentuk laluan kerjaya lebih baik serta peluang kenaikan pangkat yang lebih jelas.
“Pembantu tadbir adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara. Sudah sampai masanya kerajaan menimbang rayuan mereka bagi memastikan kebajikan golongan ini terus terpelihara,” katanya.