PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri menasihatkan warganegara Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Iran berikutan situasi keselamatan yang masih tidak menentu di negara itu serta kawasan sekitarnya.
Menurut pemakluman media Wisma Putra bertarikh 5 Februari 2026, nasihat itu dikeluarkan susulan kemas kini situasi keselamatan di Iran, selain merujuk kepada pemakluman terdahulu pada 11 Januari.
Kenyataan itu memaklumkan, warganegara Malaysia kini berada di Iran turut disarankan supaya mempertimbangkan langkah membuat aturan perjalanan yang sewajarnya menggunakan perkhidmatan komersial sedia ada.
“Bagi warganegara Malaysia yang memilih untuk terus berada di Iran, mereka dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam yang besar serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan berkenaan pada Khamis.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, bantuan konsular boleh diperoleh dengan menghubungi Bahagian Konsular kementerian itu melalui talian +603-8887 4597, +603-8887 4769 atau +603-8887 4264 pada waktu pejabat, atau e-mel bkrm@kln.gov.my.
Bagi kecemasan di luar waktu pejabat, warganegara Malaysia boleh menghubungi talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa kementerian akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu.