Tuduh Sumud Flotilla pengganas hanya taktik Israel

Iklan
Mohd Azmi.

SHAH ALAM - Tindakan Israel menuduh kumpulan Sumud Flotilla sebagai pengganas hanya untuk menarik perhatian dan memesongkan pemahaman dunia terhadap misi kemanusiaan itu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dalam masa sama memudahkan Israel mengambil tindakan termasuk menyekat dan mungkin melakukan serangan ke atas Sumud Flotilla dengan alasan berkait dengan Hamas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia adalah suatu cubaan untuk mewajarkan tindakan agresif terhadap misi kemanusiaan yang jelas sifatnya aman dan dikendalikan oleh badan-badan sivil antarabangsa.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan ini, ia merupakan propaganda yang telah lama digunakan oleh Israel.

Iklan

“Padahal sejak awal, Sumud Flotilla telah mengisytiharkan mereka sebagai kumpulan yang membawa bantuan kemanusiaan. Ia merupakan kapal awam bukannya kapal perang.

“Israel itu sendiri yang sedang mengganas di Gaza dan disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa telah melakukan genosid. Mereka sebenarnya pengganas dan bukan Sumud Flotilla,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, Kementerian Urusan Diaspora dan Penanggulangan Anti-Semitisme Israel mengeluarkan laporan menuduh Global Sumud Flotilla mempunyai kaitan dengan jaringan Hamas dan Ikhwanul Muslimin.

Laporan setebal 20 halaman bertajuk A Humanitarian Cover with Documented Links to Hamas and the Muslim Brotherhood telah diterbitkan pada 16 September 2025.

Dalam dokumen tersebut, pihak Israel mendakwa bahawa Sumud Flotilla yang terdiri daripada lebih 50 buah kapal itu bukan sekadar misi kemanusiaan tetapi merupakan sebuah ‘alat propaganda’ yang didakwa bertujuan memberikan legitimasi kepada naratif kumpulan pengganas serta melemahkan keselamatan negara Israel.