Bimbang cadangan dakwa remaja perempuan bercanggah hak kanak-kanak

Iklan
Undang-undang seperti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOAC) pada asalnya dibentuk untuk melindungi kanak-kanak perempuan sebagai mangsa, termasuk dalam kes yang dianggap ‘suka sama suka'. Foto hiasan (Gambar kecil: Norhimah dan Shahul Hamid)

SHAH ALAM - Cadangan untuk turut mengenakan tindakan undang-undang terhadap remaja perempuan dalam kes seks suka sama suka bawah umur menimbulkan kebimbangan dari sudut hak kanak-kanak.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara Malaysia (WIN), Norhimah Aziz berkata, pendekatan menghukum secara automatik boleh menambah beban kepada golongan itu yang masih keliru dengan emosi dan perasaan pada usia muda.

Iklan
Iklan

“Undang-undang seperti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOAC) pada asalnya dibentuk untuk melindungi kanak-kanak perempuan sebagai mangsa, termasuk dalam kes yang dianggap ‘suka sama suka'.

“Bayangkan remaja perempuan berusia 15 atau 16 tahun perlu berdepan mahkamah dan stigma masyarakat bukanlah satu penyelesaian, sebaliknya boleh menghancurkan masa depan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Norhimah, langkah itu juga bercanggah dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang Malaysia sudah bersetuju untuk mengikutinya.

Beliau menjelaskan, cadangan tersebut mungkin bertujuan untuk kelihatan adil kepada kedua-dua jantina, namun tanpa pendekatan yang betul ia berisiko menimbulkan kesan sebaliknya.

Iklan

“Remaja perempuan mungkin jadi lebih takut untuk tampil mendapatkan bantuan, contohnya berkaitan kesihatan reproduktif. Ini boleh menutup akses kepada sokongan yang mereka perlukan,” ujarnya.

Norhimah berkata, pendekatan lebih berkesan adalah memberi bimbingan melalui pendidikan seks menyeluruh, kaunseling dan akses kesihatan mesra remaja, selain menilai model seperti Romeo and Juliet laws yang diamalkan di luar negara.

Beliau menegaskan, undang-undang sedia ada sememangnya tegas dalam melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seperti rogol paksa atau grooming oleh orang dewasa namun dalam kes konsensual wujud ketidakseimbangan kerana hanya lelaki boleh dituduh.

“Sudah tiba masa kita semak balik standard umur persetujuan dan tambah program pemulihan seperti kursus bimbingan. Undang-undang harus melindungi lelaki, perempuan dan masyarakat tanpa menambah ketakutan,” ujarnya.

Beliau berkata, WIN melalui kempen ‘The Red Project’ turut memberi fokus kepada isu remaja termasuk kemiskinan haid, pendidikan kesihatan reproduktif dan pergaulan selamat sebagai langkah pencegahan.

Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berpandangan undang-undang sedia ada wajar dikaji semula bagi menilai peranan semua pihak dalam kes seks bawah umur, bergantung kepada situasi dan keadaan tertentu.

Menurutnya, undang-undang kini hanya membolehkan lelaki didakwa manakala perempuan tidak kerana mereka masih di bawah umur yang mana pindaan mungkin diperlukan supaya keadilan dapat dilihat lebih seimbang dari sudut peranan kedua-dua pihak.

“Banyak kes seks bawah umur berlaku kerana faktor sosial seperti pengaruh media sosial, masalah keluarga dan keruntuhan institusi rumah tangga, jika aspek ini tidak ditangani, remaja akan terus terdedah kepada risiko tanpa mengira jantina,” jelas beliau.