SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan seramai 230 murid di Sabah terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda negeri itu sejak minggu lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini sebanyak 74 buah sekolah dikenal pasti terjejas banjir, melibatkan 33 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah di Sarawak, manakala di Sabah pula membabitkan 33 sekolah rendah serta lima sekolah menengah.
“Daripada jumlah itu, lima buah sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, iaitu dua sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.
“Secara keseluruhan, seramai 230 murid terkesan, namun tiada guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) atau pegawai dilaporkan terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #GenerasiTanpaBuli Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini pada Khamis.
Menurut Fadhlina, sehingga kini 38 buah sekolah di Sabah termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya dilaporkan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, dan langkah keselamatan segera diambil bagi mengosongkan blok bangunan serta kuarters pekerja di kawasan berisiko.
“Kita utamakan keselamatan warga pendidikan. Persiapan pembersihan sekolah juga sedang dilakukan bagi memastikan pembukaan sekolah minggu depan berjalan lancar.
“Sekiranya cuaca masih tidak menentu, KPM turut mempertimbangkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan akses pendidikan murid tidak terjejas,” ujarnya.
Menurutnya, beberapa sekolah di Sabah turut dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir, selaras dengan tanggungjawab KPM membantu masyarakat setempat.
Tambahnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut turun padang pagi semalam untuk meninjau keadaan di PPS serta memberi sokongan dan bantuan kepada murid yang terjejas.