Lima akta baharu perkukuh integriti sektor awam

Iklan
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar

SEPANG – [DIKEMAS KINI] Lima akta baharu dan beberapa pindaan undang-undang diperkenalkan kerajaan bagi memperkukuh tatakelola sektor awam serta memastikan dana rakyat diuruskan dengan lebih berhemat dan telus.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Penyelidikan Governans Integriti dan AntiRasuah Peringkat Kebangsaan Kali ke-4, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada reformasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang memberi penekanan kepada integriti dan akauntabiliti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara yang diperkenalkan ialah Akta Kebertanggungjawaban Fiskal yang berperanan mengawal pengurusan kewangan negara agar bebas daripada ketirisan serta penyelewengan.

“Selain itu, pindaan terhadap Akta Audit 1957 membolehkan Jabatan Audit Negara melaksanakan audit berkonsepkan ‘follow the public money’ ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk entiti yang menerima jaminan kewangan kerajaan,” katanya pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata pindaan tersebut memberi kuasa tambahan kepada Ketua Audit Negara untuk memastikan perbelanjaan awam diaudit secara menyeluruh dan bertanggungjawab.

Shamsul Azri berkata, kerajaan turut mewujudkan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan yang menjadi panduan kepada semua agensi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Iklan

“Akta ini akan menjadikan perkhidmatan awam lebih responsif dan memberikan impak maksimum kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau menambah pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat memberi jaminan keselamatan kepada individu yang tampil melaporkan salah laku.

“Perlindungan ini penting bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat salah laku tanpa rasa takut,” jelasnya.

Shamsul Azri berkata, kerajaan juga membentangkan Akta Perolehan Kerajaan sebagai usaha mengurangkan risiko rasuah dalam proses perolehan dan memastikan sistem lebih telus.

Menurut beliau, pelaksanaan undang-undang baharu dan pindaan akta ini akan menjadi pemangkin kepada usaha negara menambah baik sistem tadbir urus serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Kesungguhan itu terbukti apabila Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 dan kini berada pada kedudukan ke-27 berbanding ke-38 sebelum ini.

“Peningkatan ini hasil pelbagai inisiatif reformasi dan pembaharuan pentadbiran yang berjaya mengangkat daya saing negara di mata dunia,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia juga merekodkan penambahbaikan dalam Worldwide Governance Indicators (WGI) yang memacu keyakinan komuniti perniagaan terhadap dasar-dasar kerajaan.

Shamsul Azri menegaskan bahawa pencapaian tersebut menjadi bukti usaha kerajaan bukan sahaja berbentuk dasar malah diterjemah melalui pelaksanaan undang-undang yang memberi kesan langsung kepada rakyat.