KUALA LUMPUR - Mesej tegas Malaysia mengenai isu Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar mendapat perhatian positif pelbagai pihak termasuk pemerhati politik antarabangsa sekali gus menyerlahkan keberanian sebuah negara kecil yang konsisten memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang kemuncak itu merupakan antara yang paling jelas dan tegas dengan saranan yang praktikal.
"Malaysia telah melakukan sedayanya. Bukan hanya menerusi 'diplomatic engagement' tetapi juga advokasi luar kerangka diplomasi seperti Sumud Nusantara Flotilla yang dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri.
"Kita lihat sendiri setiap kali pertemuan dengan pimpinan dunia, Perdana Menteri pasti akan menyebut dan membangkitkan isu Palestin," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut memuji langkah berani Perdana Menteri ketika menutup ucapan itu dengan mesej luar biasa apabila mencadangkan agar hubungan diplomatik dan hubungan perdagangan dengan Israel dihentikan.
Beliau berkata, Perdana Menteri turut menzahirkan sokongan terhadap misi Sumud Nusantara Flotilla yang berlayar ke Gaza membawa bantuan kemanusiaan sekali gus membuktikan Malaysia bukan sahaja mengangkat isu Palestin melalui saluran diplomatik tetapi juga menyokong advokasi di luar kerangka rasmi.
Mengulas Resolusi Doha, Zulkifli berkata, terdapat banyak kelemahan namun menegaskan masih ada ruang harapan antaranya merujuk kepada usaha solusi dua negara dan penganjuran Persidangan Solusi Dua Negara di New York pada 22 Sept 2025.
"Kita berdoa dan berharap Persidangan Solusi Dua Negara yang akan dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis pada 22 September bersempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Oktober ini akan membuahkan hasil ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka," katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu memberikan pengajaran penting tentang keperluan memperkukuh perpaduan, menjamin kestabilan serta membina kemandirian negara Islam di samping memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, politik dan teknologi. - Bernama