Jom@Coop tarik minat komuniti seluruh negara

Iklan
Onn (duduk depan dua dari kiri) dan Ramanan (duduk depan tengah) bergambar semasa Program jom@Coop pada Rabu.

Beri tumpuan kepada digitalisasi dengan mengatur program kesedaran dan bimbingan agar koperasi mampu menyesuaikan diri dengan arus semasa selain memperluaskan kursus secara dalam talian.

PUTRAJAYA – Program Jom@Coop 2025 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama beberapa agensi strategik berjaya menarik penyertaan hampir di seluruh negara termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman.

Pengerusi Lembaga IKMa, Onn Abu Bakar berkata, tahun ini program tersebut dilaksanakan di 50 lokasi dengan sokongan Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Co-opBank Pertama, ANGKASA, KoopSahabat, UKKM dan KOIKMA.

Iklan
Iklan

“Paling membanggakan, penyertaan tertinggi direkodkan di Penampang, Sabah dengan 255 peserta diikuti Kuching, Sarawak dengan 221 peserta.

“Ini membuktikan keterbukaan dan minat tinggi masyarakat di Sabah dan Sarawak terhadap ilmu koperasi serta peluang yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui semasa Program Jom@Coop di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, penganjuran kali ini lebih menyeluruh kerana berjaya mendekati koperasi baharu, koperasi tidak aktif dan komuniti kecil di pedalaman, berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu di kawasan bandar.

“Jom@Coop bukan sekadar program, tetapi gerakan pembaharuan koperasi yang meniup nafas baharu melalui forum, perkongsian ilmu, kisah kejayaan koperasi dan pameran produk,” ujarnya.

Iklan

Onn berkata, sepanjang tahun ini, IKMa telah melaksanakan 650 program latihan dan bimbingan di seluruh negara termasuk Program Pembangunan Kepimpinan Koperasi (200 program), Asas Perniagaan Koperasi (210), Khidmat Bimbingan Koperasi Bersasar (200) serta Belia dan Komuniti Koperasi (40).

“Setiap tahun IKMa menjalankan antara 600 hingga 800 program latihan bagi mendokong aspirasi pembelajaran sepanjang hayat untuk warga koperator,” katanya.

Beliau berkata, IKMa turut memberi tumpuan kepada digitalisasi dengan mengatur program kesedaran dan bimbingan agar koperasi mampu menyesuaikan diri dengan arus semasa selain memperluaskan kursus secara dalam talian.

Selain itu, Onn berkata, IKMa melalui penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pada 2022, kini menawarkan sembilan program pengajian berakreditasi MQA bermula diploma hingga Ijazah Kedoktoran Falsafah.

“Malah, UKKM sudah menerima pelajar antarabangsa termasuk dari Palestin yang menyambung pengajian di peringkat sarjana.

“Justeru, saya menyeru warga koperasi menjadikan UKKM sebagai institusi pilihan dalam melahirkan modal insan berjiwa keusahawanan dan mempunyai roh koperasi sebenar,” katanya.

Onn menegaskan, sokongan padu gerakan koperasi amat penting bagi memastikan UKKM menjadi platform melahirkan tenaga mahir sekali gus mendokong transformasi koperasi negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Program Jom@Coop berjaya mencatatkan penyertaan membanggakan apabila menarik lebih 5,500 peserta dari seluruh negara.

Beliau menjelaskan, program itu dilaksanakan dalam tiga skala iaitu kecil, sederhana dan besar dengan objektif memberi pendedahan serta ilmu kepada koperator bagi memperkukuh peranan koperasi.

“Peserta perlu bersedia menghadapi perubahan seiring perkembangan zaman termasuk bidang tenaga hijau, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

“Program sebegini membuka peluang untuk mereka mengejar impian menjadikan koperasi lebih berjaya,” tambah beliau.

Ramanan berkata, Malaysia kini memiliki lebih 16,000 koperasi, namun hampir 2,000 daripadanya tidak aktif.

“Secara keseluruhan ada lebih 14,000 koperasi yang aktif, tetapi kita masih jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti India dan Indonesia.

“Sebab itu lebih banyak program perlu dijalankan oleh IKMa untuk memperkasakan gerakan koperasi kita,” katanya.