Disinformasi musuh senyap reformasi

Iklan
Media sosial mengambil alih peranan kewartawanan profesional, lalu suara media berintegriti semakin tenggelam. Foto hiasan

‘KEBENARAN ialah korban pertama dalam perang’ – Aeschylus. Hari ini kita tidak lagi berperang dengan senjata di medan tempur tetapi dengan maklumat di ruang digital.

Disinformasi – berita palsu yang disebarkan dengan niat jahat telah menjadi senjata psikologi moden paling berbahaya.

Iklan
Iklan

Ia mampu meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, memecahbelahkan masyarakat, bahkan menggugat keselamatan negara. Demokrasi boleh runtuh bukan kerana kekurangan undi tetapi kerana ke-percayaan yang hilang.

Pengalaman dunia membuktikan disinformasi bukan sekadar isu kecil. Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016 menjadi titik sejarah apabila manipulasi media sosial dan propaganda digital dilaporkan mempengaruhi jutaan pengundi.

Iklan

Di United Kingdom, referendum Brexit dipenuhi naratif palsu yang mengaburi rakyat tentang kos sebenar keluar dari Kesatuan Eropah.

Filipina pula menyaksikan jentera propaganda digital membentuk citra politik Rodrigo Duterte, mengangkatnya sebagai ‘penyelamat’ rakyat walaupun penuh kontroversi.

Iklan

Malah, tahun lalu di Jepun, parti baharu berjaya menarik sokongan anak muda melalui media sosial walaupun sebahagian besar dakwaan mereka terbukti tidak sahih. Inilah bukti disinformasi bukan sahaja merosakkan fakta tetapi mencorakkan sejarah.

Bagi rakyat biasa, ancaman disinformasi hadir dalam pelbagai bentuk. Pertama, ia mengikis kepercayaan awam.

Apabila rakyat percaya semua berita ialah palsu, akhirnya kebenaran diragui. Inilah disebut pakar komunikasi, Cass Sunstein sebagai spiral of silence maklumat – bila keraguan kolektif menelan kebenaran.

Kedua, ia melemahkan media arus perdana. Media sosial mengambil alih peranan kewartawanan profesional, lalu suara media berintegriti semakin tenggelam.

Ketiga, ia mencetuskan polarisasi sosial. Isu kaum dan agama dipergunakan sehinggakan masyarakat terbelah dua.

Untuk melawan bahaya tersebut, Malaysia memerlukan strategi menyeluruh. Antara langkah konkrit ialah (1)Literasi media sebagai perisai rakyat.

Pendidikan tentang cara mengenal pasti berita palsu mesti dimasukkan ke sekolah dan program komuniti. Rakyat perlu dilatih berfikir kritis, menyoal sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.

(2) Ekosistem semakan fakta yang kukuh. Malaysia perlu sebuah pusat semakan fakta nasional yang bebas, berwibawa dan telus. Kerjasama antara kerajaan, akademia, media dan sektor swasta ialah kunci. Teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk mengesan berita palsu dengan lebih pantas.

(3) Akauntabiliti platform digital. Media sosial tidak boleh dibiarkan beroperasi tanpa tanggungjawab. Akaun berpengaruh mesti mempunyai identiti jelas, sementara kandungan palsu perlu dipadam segera. Singapura melalui Protection from Online Falsehoods and Manipulation Act (POFMA) memberi contoh bagaimana platform digital dipaksa memikul tanggungjawab sosial.

(4) Strategi AI berdaulat. Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi luar. Kita perlu bina keupayaan AI sendiri bagi mengesan disinformasi dalam bahasa tempatan. Dengan itu, kita tidak sekadar jadi pengguna pasif tetapi pencipta teknologi.

(5) Menyokong media profesional. Ahli politik tidak harus menyerang media arus perdana secara melulu. Sebaliknya, dana awam boleh diwujudkan bagi menyokong kewartawanan bebas dan berkualiti.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Tianjin, China, baru-baru ini mengangkat naratif baharu yang relevan dalam konteks ini.

Beliau menekankan dunia sedang melalui zaman penuh ketidaktentuan dan naratif baharu mesti ditulis dengan ‘dakwat Asia’ yang lebih adil serta inklusif.

Konsep diketengahkan – kedaulatan dalam kebergantungan – menggambarkan negara boleh kekal berdaulat, namun tetap terbuka kepada kerjasama antarabangsa. Perspektif ini juga boleh menjadi penawar kepada trust deficit.

Melawan disinformasi bukan tugas kerajaan semata-mata. Ia tanggungjawab kolektif. Kerajaan menggubal dasar, media menegakkan integriti, akademia memberi pencerahan, syarikat teknologi memikul tanggungjawab sosial dan rakyat memperkukuh daya tahan minda.

Sekiranya kita gagal bertindak, demokrasi Malaysia akan terancam oleh berita palsu, fitnah digital dan manipulasi algoritma.

Namun, jika strategi kolektif digerakkan dengan penuh komitmen, kita bukan sahaja mampu melindungi demokrasi, bahkan memperkukuhkannya.

Disinformasi ialah bahaya senyap, tetapi Malaysia masih punya peluang menanganinya dengan ilmu, keberanian, dan solidariti rakyat.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)